Ketika ramai orang Umno menunjukkan sikap positif terhadap usul persendirian tentang pelaksanaan hudud di Kelantan yang PAS cadang dalam sidang Parlimen akan datang, Timbalan Perdana Menteri TS Muhyiddin Yassin masih kurang positif.
Dalam kenyataannya kepada media di Pulau Pinang, dia hendak tengok dulu, usul itu selari dengan Islam atau tidak.
Suaranya itu adalah lanjutan sikap Umno zaman Mahathir yang menempelak enakmen jenayah Islam 2 Kelantan dan enakmen yang di Terengganu sebagai hudud PAS, bukannya hudud Islam. Muhyiddin tidaklah tuding usul persendiran PAS itu hudud PAS, dengan berkata ia selari dengan Islam atau tidak, samalah dengan Umno dulu, sedang Umno sekarang mula terbuka tentangnya.
Mana ada hudud selain dari Islam?
Noktah dalam kepada Muhyiddin itu samalah dengan kerenah Umno sebelum era Mahathir yang menempelak dakwah yang mula berkembang masa itu sebagai dakwah songsang. Asal yang dinama dakwah, mana ada songsang. Yang songsang ialah ajaran sesat.
Alhamdulilah dakwah yang ditohmah songsang itu yang membuka transformasi pikiran dan politik Umno mulai positif terhadap hudud.
Otak pertama positif tentang hudud itu, ia terima secara positif dulu. Lepas itu ia tengok usul itu apa kurang dan lebihnya dan komen bagi jadikan ia lebih kukuh dan lebih positif. Otak pertama misti pro bukan ragu.
Yang ragu tentang hudud itu adalah perangai ahli kitab. Hudud yang al-Quran panjangkan itu sudah diwajibkan dalam Taurat dan Injil. Undang-undang Allah sudah disyariatkan oleh Nabi Musa dan dilanjutkan oleh Nabi Isa al-Masih.
Apabila syariat Nabi Muhammad SAW sambung peruntukan itu, ahli kitab takwil ia seperti yang Taurat mahukah dan sepuak lagi tanya ia seperti yang Injil ajarkah?
Kedua-dua kumpulan ahli kitab itu bukan pula beriman kepada yang Taurat kehendaki dan yang Injil tuntut. Mereka tolak yang al-Quran ajar sebagai dalih saja. Sebenarnya Taurat dan Injil pun mereka lensing.
Jangan ikut perangai ahli kitab itu! Zaman sudah berubah, mereka degil. Yang dulu pun mereka tidak ikut, syariat yang baru pun mereka ingkar.
Hormatilah pandangan positif setengah orang Umno secara terbuka menunggu usul PAS itu. Mereka setengahnya pemimpin Umno juga tetapi bukanlah yang teratas. Ekor sudah positif, kepala pula yang tidak dapat mengikut perubahan.
Jangan Timbalan Perdana Menteri sekadar hendak berdalih untuk kaji dan undi teliti dulu. Itulah yang Almarhum TS Hamid Othman, ulama Umno 20 tahun kata tentang desakan hudud termasuk yang diluluskan di Kelantan itu.
Katanya, kita hendak kaji dulu.
Sudah 20 tahun kaji, apa yang dikaji?
Kaji dalam al-Quran memang tidak ada teruna dan dara yang berzina dihukum sebat 80 kali. Ia ada dalam hadis saja.
Jangan jadi seperti pemikiran anti hadis. Yang tiada dalam al-Quran walaupun dalam hadis, tidak boleh dipakai. Yang betul-betul yang ada dalam al-Quran saja. Kajian yang serupa itu hingga kiamat pun tidak akan ada jawapan.
Janji untuk kaji dan teliti yang TPM sebut itu seperti mengulangi janji TS Almarhum Hamid dulu. Sekarang tidak janji kaji lagi. Yang semua mahu kaji laksana. Jangan sepuluh jong masuk, anjing bercawat ekor lagi!