PETALING JAYA: PAS mencabar Gerakan berdebat dan berdailog mengenai isu hukum hudud.
“Beritahu tarikh dan tempatnya saya akan datang,” kata Pengerusi Lajnah Undang Undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin ketika mengulas nota bantahan yang dihantar oleh Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang kepada PAS semalam.
Katanya, Gerakan hanya menyatakan secara umum bahawa hudud bertentangan dengan Perlembagaan namun tidak dinyatakan peruntukan mana di dalam Perlembagaan yang dikatakan dilanggar oleh PAS atau Kerajaan Kelantan.
Menurut beliau, ketiadaan perincian dakwaan mereka ini menimbulkan andaian adakah pihak Gerakan menghantara notis tindakan undang undang kepada PAS hanya berdasarkan sentimen semata mata dan sikap gopoh tanpa terlebih dahulu menghalusi perlembagaan dan peruntukkan di dalamnya.
“Dakwaan Gerakan dalam notis mereka kepada PAS bahawa kewujudan hukum hudud akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam negara kita adalah satu dakwaan yang gopoh, tidak berasas dan juga menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang perjalanan sistem undang undang jenayah dalam negara ini,” kata beliau.
Beliau yang juga ahli parlimen Sepang berkata kewujudan dua sistem jenayah dalam negara ini telah pun wujud sejak Perlembagaan Persekutuan itu wujud.
“Sejak awal lagi negara kita dan perlembagaan merestui kewujudan dua sistem jenayah itu iaitu jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan jenayah syariah yang dibicarakan di Mahkamah Syariah,” katanya.
Oleh itu, tambahnya, sama ada hudud wujud atau tidak , hakikatnya negara kita telah pun mempunyai dua sistem jenayah dan ini diperuntukkan oleh perlembagaan.
“Nampaknya bukan Pas yang melanggar perlembagaan sebaliknya hujah Gerakan yang menyalahi Perlembagaan,” sindir beliau.
Malahan, katanya, jika kita mengambil kira wujudnya Mahkamah Tentera yang membicarakan kes jenayah yang melibatkan tentera maka terdapat lebih dari dua sistem jenayah dalam negara kita.
“Bagaimana pula dengan kewujudan mahkamah seperti Mahkamah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga diberi kuasa membicarakan kes saman berunsur jenayah?” soal beliau.
Beliau memuji Gerakan kerana meskipun mereka menghantar notis yang boleh dikatakan pra matang kepada PAS, mereka tidaklah dilihat menghina hukum hudud seperti para pemimpin Umno, sekutu mereka yang beragama Islam , yang pernah dan diketahui menghina hukum hudud secara terbuka sebelum ini.
“Alexander Pope menyatakan ” Little knowledge is dangerous thing” maka atas ruh kata kata tersebut saya ingin menasihatkan pemimpin Gerakan pelajarilah hukum hudud sebelum kamu ingin menentangnya. Adil kah menentang hudud tanpa mengetahui dan memahami undang undang hudud itu terlebih dahulu ?” soalnya lagi.
Beliau juga berharap Gerakan perlu bersikap konsisten.
“Mengapakah kita tidak mendengar Gerakan menentang undang undang zalim dan drakonian seperti ISA , Akta Hasutaan, Akta Penerbitan Dan Pencetakan, SOSMA , Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi,” soalnya.
Beliau berhujah mengapakah apabila kerajaan BN luluskan Akta Pencegahan Jenayah yang mengembalikan kuasa menahan tanpa bicara Gerakan tidak membantah malahan menyokong.
“Bukankah ia adalah akta yang zalim dan melanggar hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan?Mengapakah tiada notis dihanta kepada Umno , MCA dan MIC?” soalnya lagi.
Katanya, adakah Gerakan sedar dan tahu bahawa tiada penahanan tanpa bicara dalam hudud malahan prinsip dalam undang undang jenayah Islam jauh lebih baik iaitu “lebih baik hakim tersilap bebaskan 10 orang bersalah dari hakim tersilap sabitkan seorang yang tidak bersalah sebagai bersalah”.