Tuesday, April 22, 2014

Jamin insiden kerusi terbang tak berulang

  • Johari Abdul
 1 / 1 
SHAH ALAM - Tidak mahu kesilapan kembali berulang pada Pemilihan PKR kali ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP), Datuk Johari Abdul memberi jaminan proses kali kedua itu akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Katanya, PKR sebuah parti mengamalkan ketelusan dan keterbukaan membenarkan ahlinya menggunakan saluran yang tepat bagi menyuarakan aduan dan bantahan, bukan melalui keganasan.

“Sudah tentu PKR benarkan ahlinya membuat aduan dan bantahan sekiranya tidak berpuas hati, ada penyelesaiannya, dengan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Mengakui pihaknya menerima banyak aduan dan bantahan sejak proses  pencalonan lagi, Johari berkata,  bantahan  perlulah melalui borang aduan rasmi.

“Kita menerima bantahan sama ada melalui telefon atau surat, tetapi ahli juga perlu mengisi borang aduan, agar siasatan dan tindakan dapat dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, Pemilihan PKR 2010 dicemari insiden kekecohan apabila berlaku kejadian tumbuk menumbuk, kerusi dibaling dan kertas undi dibuang di jalan raya apabila perwakilan tidak puas hati cara pemilihan itu dijalankan.

Bagi menghadapi pemilihan yang hanya tinggal beberapa hari lagi, Johari mengingatkan setiap calon mesti mematuhi tujuh garis panduan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa itu.

“Dari serendah jawatan hingga yang paling tinggi, hampir 10,000 yang bertanding pada pemilihan kali ini.  Oleh yang demikian, mereka diingatkan agar mematuhi setiap peraturan tersebut,” katanya.

Garis panduan itu menetapkan larangan penggunaan media ataupun penghebahan kepada umum untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dengan pemilihan parti kali ini.

Pemilihan kali ini juga melarang elemen dan perbuatan yang bertujuan membeli undi seperti pemberian dalam bentuk wang, barangan atau tawaran adalah dilarang sama sekali.

Selain itu, larangan itu termasuk sebarang tindakan yang boleh disifatkan sebagai kekerasan, pemaksaan dan ugutan bagi meraih sokongan.

Garis panduan itu juga menyentuh larangan apa-apa kenyataan, ucapan atau bahan kempen semasa pemilihan  dan ucapan keji, fitnah, caci dan menghina.

Menurut Johari, sekiranya mana-mana pihak mendapati terdapat calon yang melanggar peraturan ini, mereka perlu membuat satu laporan dan kemukakan bukti dalam bentuk hitam putih.

Pemilihan PKR 2014 akan bermula 25 April sehingga 11 Mei ini menyaksikan 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli  PKR layak mengundi dengan Selangor seramai 144,020 anggota, diikuti Sabah sebanyak 86,955 ahli.

Pemilihan akan bermula dengan Kelantan , Terengganu, Pahang dan Sarawak pada 26 April dengan Sarawak mendapat tambahan satu hari kerana keadaan geografinya.

Seterusnya akan diadakan di Johor dan Melaka pada 27 April; Kedah , Perlis dan Sabah pada 3 Mei; Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada 4 Mei; Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pada 10 Mei dan Selangor pada 11 Mei.

PKR melaksanakan pemilihan secara langsung bagi semua jawatan di peringkat cabang serta di peringkat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT), termasuk jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPT.

Bagi jawatan presiden, dua calon yang akan bertanding, manakala empat calon bagi jawatan timbalan, dan 14 calon untuk jawatan naib presiden serta 74 calon untuk jawatan majlis tertinggi.

Untuk pertama kalinya jawatan Presiden PKR berlaku persaingan dengan penyandangnya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan ditentang penasihat parti itu yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Manakala penyandang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula bakal dicabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk K Ramachandran.

Sementara itu, untuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, calon akan mengisi satu kerusi ketua dan timbalan, tiga untuk naib dan 20 exco.

Manakala di peringkat cabang pula, satu jawatan dipertandingkan untuk ketua cabang, timbalan, naib dan 15 untuk ahli jawatankuasa (AJK) cabang masing-masing.

AMK peringkat cabang mempunyai pecahan kerusi sama manakala Wanita hanya memperuntukkan tujuh kerusi AJK.

Semua ahli yang layak mengundi diminta menulis nombor calon pada kertas undi. Calon-calon bukan sahaja perkenalkan diri bahkan mengiklankan nombor mereka.