Thursday, April 17, 2014

Karpal: Ucapan Takziah Najib Satu Penghinaan?


Dalam kita semua bersedih atas kematian mantan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam satu kemalangan jalanraya di Gua Tempurung Perak, awal pagi tadi, Perdana Menteri Najib Tun Razak, mencemarkan kesedihan itu dengan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Sejak bila pula Karpal dan Najib jadi kawan baik?

Kita semua tahu, ucapan takziah ini tidak lebih dari satu sindiran yang penuh kepura-puraan.  Mendiang dan Najib datang dari latarbelakang politik yang sangat berbeza dan tidak mungkin Najib akan 'terasa' dengan kematian Karpal sehingga mampu mengucapkan takziah.
Pakatan Rakyat yakin semua penyokong BN yang diketuai Najib sebetulnya berasa gembira dengan kematian Karpal ini, maklum sajalah, kurang satu lagi masalah untuk mereka.

Malah dilapurkan pada saat ini, beberapa bahagian UMNO telah mengadakan kenduri kesyukuran, sebaik kematian tersebut mula dilaporkan dan menjadi kegilaan sementara di media-media sosial.

Walaupun BN boleh bermimpi sahaja untuk menang di Bukit Gelugor kerana siapa pun yang dicalonkan Pakatan Rakyat disitu pasti akan menang besar, itu tidak penting pada mereka.  Yang penting ialah tanpa Karpal, BN sekurang-kurangnya akan memperolehi kelebihan yang besar terutama dari segi karisma Karpal yang tidak mungkin mampu dapat mereka tandingi.

Kalau Najib benar-benar ikhlas nak mengucapkan takziah kepada Karpal, dia seharusnya membatalkan lawatannya di Turki sekarang dan balik dengan segera ke negara ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada pejuang rakyat serta penentang hudud yang sejati ini.

Selain itu, Najib juga boleh mengarahkan supaya bendera Malaysia di seluruh negara dikibarkan separuh tiang untuk menghormati kematian Karpal dan mayatnya perlulah dikebumikan di tempat yang sepatutnya seperti Makam Pahlawan.

Lebih baik lagi kalau satu hari cuti am dapat diisytiharkan bagi menghormati pemergian mendiang.

Jika semua itu berani dilakukan Najib, barulah boleh kita katakan ucapan takziah itu adalah ikhlas, bukan kerana terpaksa, tapi persoalan seterusnya pula, beranikah Najib melakukan semua yang disenaraikan di atas?