Friday, April 11, 2014

Khalid Ibrahim tidak berminat ambil alih lebuh raya

Khalid Ibrahim
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak berminat untuk mengambil alih lebuh raya KL Barat Holdings Sdn Bhd (Sprint) dan juga lebuh raya Kesas Holding.

Menurutnya, pengambilalihan lebuh raya adalah lebih sukar, berbanding air.
“Hal ini kerana harga kontrak untuk membuat jalan adalah tidak tetap dan tidak teratur,” ujarnya sewaktu perbahasan di Dewan Negeri Selangor.

Jelasnya, perbincangan mengenai kos lebuh raya adakalanya sangat tinggi untuk diambil alih.
Bagaimanapun, beliau turut menjelaskan bahawa rakan-rakan dari Pakatan Rakyat (PR) bercita-cita untuk menyusun semula lebuh raya supaya dapat dibetulkan dari segi hasil dan pulangan.
“Dengan penyusanan semula lebuh raya, ia dapat menjamin harga tol yang munasabah dan mengelakkan syarikat konsesi mendapat keuntungan yang melampau lantas membebankan pengguna jalan raya,” katanya lagi.
Pegangan saham
Dalam pada masa yang sama, Adun Pelabuhan Klang itu turut menjawab soalan lisan Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang bertanya mengenai pegangan saham lebuh raya yang dimiliki oleh kerajaan negeri dalam syarikat konsesi lebuh raya.
Jelas Khalid, Kumpulan Darul Ehsan melalui anak syarikat Kumpulan Perangsang Berhad memiliki 20 peratus kepentingan ekuiti dalam penyuraian trafik dalam lebuh raya Sprint.
“Jumlah pelaburan Kumpulan Perangsang dalam Sprint adalah sebanyak 131.7 juta.
“Bermula dari tahun 2008 hingga tahun 2013, Sprint telah merekodkan kerugian, hal ini kerana syarikat lebuh raya tersebut tidak dapat mengisytiharkan dividen kepada pemilik saham,” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memiliki kepentingan sebanyak 30 peratus saham dalam Kesas Holdings Berhad (Kesas).
“Jumlah pelaburan PKNS dalam syarikat lebuh raya Kesas adalah sebanyak 141.2 juta dan mencatatkan keuntungan dividen melebihi 25 juta,” katanya.