SHAH ALAM: Kerajaan negeri terus membantu lebih 300 peneroka bandar yang gagal mendapat pinjaman bank untuk memiliki kediaman di Bukit Botak.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad, berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan masalah terbabit.
“Kedua kita membenarkan penduduk mendiaminya dengan membayar secara sewa beli atau ketiga peneroka bandar berkongsi untuk membeli dengan kerajaan negeri dan beli secara berperingkat,” katanya lagi.
Sementara itu, katanya Kerajaan Selangor memberi tempoh selama enam bulan dari sekarang kepada setiap pemaju yang sudah mendapat kelulusan untuk membina rumah mampu milik di negeri ini bagi mengemukakan permohonan kebenaran merancang mereka.
Ini bermakna pemaju perlu mengemukakan kebenaran merancang mereka pada bulan November ini dan memulakan kerja pembinaan di tapak projek pada November 2015 seperti yang dijanjikan.
Beliau berkata meskipun ada pemaju yang sudah mendapat kelulusan untuk membina rumah mampu milik sejak tahun 2011, namun kebanyakan daripada mereka belum mengemukakan permohonan kebenaran merancang.
Katanya sebuah jawatankuasa khas untuk memantau pemaju juga sudah diwujudkan dan sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang ditetapkan, maka tindakan tegas akan diambil.
“Jawatankuasa ini akan menghantar notis kepada pemaju serta panggil mereka untuk bertanya mengapa telah dapat kelulusan untuk membina tetapi masih tidak hantar permohonan kebenaran merancang.
“Kita juga akan ambil tindakan sekiranya ia berlarutan (jika gagal laksanakan), maka kita akan tarik balik (kelulusan),” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).