Tuesday, April 29, 2014

Krisis Air Selangor: Catuan Akan Diteruskan Sehingga Hujung Tahun?


Sumber dalaman kerajaan negeri Selangor memaklumkan bahawa, satu keputusan telah dibuat untuk melanjutkan catuan air di negeri tersebut yang sepatutnya berakhir esok sehingga hujung tahun ini.

Pengumuman dan segala perincian mengenainya, akan dibentangkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media khas esok.

Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kajian pakar dilantik kerajaan negeri yang menyatakan, Selangor akan mengalami krisis air jauh lebih serius pada musim panas yang dijangka bermula pada Jun hingga September tahun ini kalau langkah berjimat cermat sekarang dihentikan.

Selain itu, kajian yang sama menunjukkan, jumlah takungan air di 2 daripada 6 empangan utama di negeri Selangor sekarang, masih berada pada tahap yang sangat minimum, tidak cukup untuk membolehkan catuan air ditarik balik sepenuhnya seperti yang dimahukan semua pihak.

Walaupun kerajaan negeri Selangor telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk menambah bekalan air di Selangor seperti menyedut air lombong, membeli air kumbahan terawat dari Indah Water dan sebagainya, tapi semua inisiatif tersebut memerlukan sedikit masa untuk menunjukkan keberkesanan.

Bagaimanapun dikatakan, kerajaan negeri akan memberi sedikit kelonggaran pada catuan bulan Mei ini bagi membolehkan rakyat bersedia dengan pelan catuan lebih besar yang bakal dilaksanakan bagi menghadapi musim panas seperti dijelaskan di atas.

Antara pilihan yang menjadi keutamaan, untuk bulan Mei akan datang, pelan catuan yang dicadangkan ialah 5 hari ada air, 2 hari tidak ada air bagi semua kawasan dalam negeri Selangor kecuali beberapa lokasi yang telah diberi pengecualian oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sehubungan dengan itu, Pakatan Rakyat meminta semua pihak agar menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan tidak mempolitikkan pelan catuan air terbaru ini bagi kebaikan semua pihak.  Krisis ini adalah masalah bersama dan tidak seharusnyalah ia dijadikan modal untuk meraih sokongan.

Pakatan Rakyat yakin, rakyat Selangor yang telah biasa dengan catuan air di negeri tersebut sekarang, akan menerima langkah catuan terbaru ini demi kepentingan yang lebih besar di masa hadapan.