Tuesday, April 8, 2014

Laporan audit: Ketirisan masih jadi budaya kerajaan


KUALA LUMPUR: Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2013 yang dibentangkan semalam, suatu kesimpulan yang nyata ialah masalah ketirisan, tidak amanah, sambil lewa, cuai dan mengutamakan kroni masih menjadi budaya di dalam kerajaan pimpinan BN yang hanya memperolehi sokongan undi popular sebanyak 47 peratus dalam pilihanraya umum lalu.


Bagi penulis Shahbudin Husin, masih kedengaran lagi berita-berita menyedihkan seperti projek gagal disiapkan mengikut jadual, nilai kontrak lebih tinggi daripada sepatutnya, pemberian kontrak kepada syarikat muflis, peralatan berhabuk dalam stor, bekalan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, syarikat yang dilantik lewat menyerahkan kutipan rumah PPR sehingga kerajaan menanggung kerugia, syarikat gagal menyiapkan projek dan sebagainya.



“Walaupun menurut Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, laporan audit pada tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan pemantauan yang lebih ketat oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan, hakikatnya kerugian wang kerajaan masih banyak berlaku,” tulis beliau di dalam blognya semalam.



Dilaporkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan dipanggil dan 121 kes pula berkemungkinan berdepan tindakan, harapan orangramai ialah tindakan itu benar-benar menjadi kenyataan akhirnya.