KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar segera membuat penafian bahawa wujud penglibatan Kapten Zaharie Ahmad Shah di dalam inseden kehilangan MH370.
“Sebelum ini kita lihat pihak polis dengan pantas menyerbu rumah milik juruterbang dan merampas simulator sehinggakan pelbagai tomahan negatif timbul.
“Dengan penjelasan FBI, Ketua Polis Negara perlu segera membuat penafian dan ia tidak lagi boleh ditangguh lagi,” sambung beliau.
Ketua Penerangan PAS Pusat itu menggesa agar kerajaan dan pihak berkuasa tampil membuat penjelasan bagi membersihkan nama juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang dikaitkan dalam insiden kehilangan pesawat MAS MH370 pada 8 Mac lalu.
Beliau merujuk kepada laporan New York Times, yang mana Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui sebarang bukti yang boleh mengaitkan juruterbang MH370 dengan kehilangan pesawat itu.
Perkara itu didedahkan dua pegawai penyiasat selepas FBI meneliti cakera keras dan simulator penerbangan yang diambil dari rumah kedua-dua juruterbang MH370 di Malaysia.
“Kita harap kerajaan segera memberi penjelasan bagi memulihkan nama Zaharie yang telah dikaitkan dengan insiden tersebut.
“Ini amat penting bagi memulihkan maruah juruterbang itu dan juga keluarga beliau dari tanggapan negetif masyarakat umum dan antarabangsa,” katanya.