KUALA LUMPUR: Ikhwanul Muslimin Mesir akan terus menggerakkan revolusi secara aman tanpa senjata walaupun pelbagai usaha dilakukan junta tentera negara itu untuk memaksa revolusi Mesir yang didokong Ikhwan menumpahkan darah dan lari dari landasan perjuangan yang aman, tegas Timbalan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir, Sheikh Jumaah Amin.
Dalam satu pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi di satu lokasi di luar Mesir, Sheikh Jumaah berkata, junta tentera Mesir menggunakan pelbagai tektik untuk memerangkap Ikhwanul Muslimin agar mengangkat senjata dan melakukan revolusi bersenjata.
Terbaru, ujarnya adalah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas 529 pemimpin dan anggota Ikhwanul Muslimin.
"Dengan hukuman bunuh ini, junta tentera cuba untuk memaksa Revolusi Mesir yg didokong oleh Ikhwan agar melakukan pertumpahan darah dan lari dari landasan perjuangan yang aman.
"Kami tetap berpendirian bahawa Revolusi kami akan tetap aman dan tanpa senjata. senjata kami adalah rakyat dan pertolongan Allah SWT," tegas beliau.
Mengulas hukuman mati yang dijatuhi mahkamah Mesir terhadap anggota Ikhwan, beliau menyifatkan penghakiman itu sebagai "paling tragis dan tidak masuk akal".
Menurutnya, 529 anggota Ikhwan itu dijatuhkan hukuman mati dalam dua sesi perbicaraan yang ringkas dengan kedua-duanya berlangsung kira-kira 20 minit.
"Junta tentera menyerlahkan wajah sebenar kejahatan mereka dan membuktikan mereka sememangnya musuh rakyat, musuh kehidupan itu sendiri, musuh keadilan, kebebasan dan demokrasi.
"Mereka menggunakan institusi kerajaan, pihak berkuasa dan agensi kerajaan bagi tujuan yang berlawanan dengan tujuan penubuhannya. Mereka juga mengunakan media massa untuk mengelirukan rakyat," kesal Sheikh Jumaah.
Beliau turut kesal kerana regim pimpinan Jeneral Abdul Fattah As-Sisi menggunakan tentera dan polis untuk membunuh dan mencederakan rakyat yang tidak bersenjata dalam pembunuhan beramai-ramai yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Malah tindakan As-Sisi itu, ujarnya tidak berani dilakukan oleh kuasa penjajah asing.
"Dan kini mereka menyalahgunakan badan kehakiman untuk melaksanakan penghapusan beramai-ramai ahli serta penyokong Ikhwan.
"Jenayah yang terbaru oleh junta pembunuh adalah amat mengejutkan kepada seluruh masyarakat dunia," ujarnya.
Menurut Sheikh Jumaah, hukuman kejam ini hanya akan menggandakan tekad dan mengukuhkan keazaman Ikhwan dalam meneruskan usaha utama menamatkan rampasan kuasa dan menghadapkan setiap seorang penjenayah yang mencabul hak dan kebebasan rakyat Mesir ke muka pengadilan, untuk mencapai hukuman yang adil.