Wednesday, April 2, 2014

Pemilihan PKR 2014: Khalid Ibrahim Jangan Guna Jentera Negeri


Telah sampai ke pengetahuan banyak pihak di Selangor bahawa pasukan kempen Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dikesan menggunakan jentera milik kerajaan negeri dalam usahanya untuk merebut kerusi Timbalan Presiden PKR dari YB Azmin Ali.

Antara jentera kerajaan negeri yang dikesan menjadi 'milik peribadi' kem Khalid ialah TV Selangor, Jabatan Penerangan Khas dan lain-lain jabatan, termasuk agensi milik kerajaan negeri seperti MBi (Menteri Besar Incorporation) dan PKNS.

Malah, beberapa skim dibawah program Selangorku yang dibekukan selama ini atas sebab-sebab tertentu, sudah mula digerakkan secara tiba-tiba.  Umpamanya penyerahan rumah percuma dan bantuan membaiki rumah dibawah Skim Bantuan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor kepada lebih 53 orang penerima semalam.

Sejak dilancarkan lebih 5 tahun lepas, tidak seorang pun dari pemohon yang menerima rumah mahupun bantuan membina rumah, tapi sejak Khalid menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, tahu-tahu, 53 orang dapat rumah dan bantuan membaiki rumah!!

Ajaib.

Baguslah rakyat mendapat manfaat dari kerajaan negeri Selangor, dah memang itulah yang sepatutnya dilakukan kerana Selangor ialah negeri berkebajikan, perlu bantu dan tolong rakyat dimana yang perlu pada setiap masa (bukan bila Menteri Besar nak bertanding jawatan politik sahaja).

Tapi masa yang dipilih itu, menampakkan sangat semua bantuan ini hanya untuk satu tujuan - mempromosikan Menteri Besar.  Malah, dikatakan 53 orang yang diberi bantauan rumah itu, adalah ahli-ahli PKR yang menjadi penyokong kuat Khalid sahaja.

Kenapa perlu ada pengasingan yang begitu?  Sepatutnya, siapa juga rakyat yang layak harus menerima bantuan tersebut tanpa memilih bulu.  Inikan wang kerajaan negeri, bukan wang peribadi Khalid Ibrahim!!

Turut dikesan ialah pengagihan projek-projek infrastruktur dibawah selian MBi dan PKNS kepada syarikat-syarikat yang diketahui menjadi penyokong Khalid.  Memorandum Persefahaman berhubung penstrukturan semula konsesi air di Selangor, dikatakan antara lubuk yang paling menjadi tumpuan dan agihan.

Apakah semua ini bukan bukti yang mengesahkan berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan?

Pakatan Rakyat tidak mahu perkara ini didedahkan kerana ia akan memberi kesan kepada intergriti kita sebagai parti alternatif rakyat dari memilih UMNO. Khalid bagaimanapun, janganlah mengambil kesempatan di atas perkara tersebut dengan sewenang-wenangnya.

Justeru, kem Khalid diberi masa 3 hari untuk menghentikan semua tindakan yang tidak bertanggungjawab ini atau aduan akan dibuat kepada Jawatankuasa Pemilihan.  Bertandinglah secara sihat dan bersih, bukan dengan mengamalkan apa yang sering dilakukan dalam pemilihan UMNO.