Tuesday, April 22, 2014

Pemilihan PKR: Pertandingan dua generasi

  • Analisis Berita
 1 / 1 
SHAH ALAM - Pemilihan PKR kali ini memperlihatkan pertembungan dua generasi bagi merebut jawatan tertinggi parti iaitu dari kumpulan anak muda dan senior pergerakan parti itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, hasil pertembungan itu, PKR bakal mengalami perubahan apabila berlaku campuran antara generasi baru dan orang lama.

“Paling hangat diperkatakan adalah jawatan Timbalan Presiden, tapi melihatkan kepada jawatan Naib Presiden yang ramai orang muda, tidak mustahil golongan ini akan memenangi jawatan itu.

“Tapi golongan senior pastinya tidak akan dipinggirkan begitu sahaja kerana mereka sudah lama bersama dalam perjuangan parti. Tapi persaingan untuk semua jawatan terbuka,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kata beliau, memandangkan pertandingan diadakan bagi semua peringkat, kemungkinan besar PKR akan mengalami perubahan.

“Sehingga kini kita tidak lihat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail nyatakan kumpulan mana disokong mereka,” ujarnya.

Dalam pemilihan PKR, gabungan Rafizi Ramli, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Nurul Izzah Anwar membentuk satu gabungan bertemakan ‘Masa Depan Bersama’.

Bagaimanapun gabungan itu tidak disenangi Timbalan Presiden, Azmin Ali yang menyifatkan perkara itu akan merosakkan masa depan PKR.