Monday, May 12, 2014

Abdullah Sani nyaris ditumbuk ahli PKR

  • Abdullah Sani nyaris ditumbuk ahli PKRAbdullah Sani (tengah) dan isteri terpaksa bergegas keluar dari dewan selepas berlaku insiden baling kerusi dan meja.
 1 / 1 
KUALA LANGAT - Calon Ketua Cabang PKR Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid, nyaris ditumbuk sekumpulan ahli PKR yang mencetuskan provokasi di dewan selepas beliau masuk untuk mengemukakan bantahan terhadap pengundian yang didakwa tidak telus, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu menyaksikan sekumpulan lelaki membaling kerusi dan meja menyebabkan kertas undi berselerak.

Kekecohan tidak berhenti di dalam dewan, malah sehingga  ke luar apabila sekumpulan penyokong menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Abdullah Sani.

Abdullah Sani, yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, ditemani isterinya, Faizah Arifin, terpaksa berlari ke arah kenderaan mereka untuk menyelamatkan diri apabila dikejar sekumpulan lelaki.

Lebih memburukkan keadaan apabila berlaku tumbuk-menumbuk antara dua kumpulan terbabit sehingga mencetuskan pergelutan dan tolak-menolak sesama mereka di luar dewan.

Abdullah Sani memaklumkan, beliau membuat laporan di Balai Polis Telok Panglima Garang berhubung apa yang didakwa pemilihan tidak telus itu.

Sementara itu, calon Ketua Cabang PKR Kuala Langat, N Radha Krishna berkata, beliau kecewa dengan insiden yang berlaku itu dan ia menjejaskan bilangan mereka yang mengundi.

Beliau mendakwa nyaris dipukul sekumpulan lelaki kejadian tumbuk-menumbuk itu berlaku.

“Bagi saya tindakan ini tidak profesional kerana menimbulkan imej negatif kepada parti.

“Saya akan buat sidang media esok (hari ini) berhubung dengan kekacauan yang berlaku tadi (semalam),” katanya, yang turut membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.