Monday, May 12, 2014

PAS tangguh bentang hudud

hadi awang hudud pas
KUALA LUMPUR: PAS menangguhkan cadangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian (private bill) berkenaan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dalam sesi parlimen akan datang.

Membaca kenyataan media bagi pihak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata PAS akan bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk meniliti semula pelaksanaan hukum hudud di Kelantan

“PAS pusat bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan pusat dan dan kerajaan negeri Kelantan untuk meniliti semula pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan.
“Oleh kerana itu cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada persidangan bulan Jun ini tidak akan diteruskan. Ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal untuk merumuskan cadangan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Pusat PAS disini hari ini.
Cadangan penubuhan Jawatankuasa Teknikal ini dilontarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin April lalu.
Mohamad turut menegaskan yang parti Islam itu serius dalam usaha mereka untuk melaksanakan hudud di Kelantan di mana perbincangan berlaku antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
“Ini terserah kepada Jawatankuasa Teknikal yang akan berbincang antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan pusat. Jawatankuasa Teknikal ini (di antara) kerajaan dan kerajaan, jadi seriuslah,” jelasnya.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut mengakui bahawa parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain belum mengetahui keputusan yang diambil oleh parti tersebut.
“Mereka belum tahu. Ini baru dibincangkan dalam mesyuarat kita sebentar tadi. Mereka akan mengetahuinya dari laporan adil media hari ini,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi parlimen Bukit Gelugor, di mana terdapat seorang lelaki yang mengaku merupakan ahli PAS yang mahu turut bertanding, Mohamad berkata PAS belum menyiasat sama ada lelaki tersebut merupakan ahli PAS atau tidak.
“Kita tak bincangkan mengenai dia dalam mesyuarat tadi. PAS kemukakan calon, calon PAS ialah Ramkarpal Singh yang bersimbolkan ‘roket’,” tambahnya.
Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini berkata mereka akan membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke Parlimen dalam persidangan akan datang yang akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen PAS dari negeri tersebut.