Wednesday, May 28, 2014

Hudud isu strategi politik?

Hudud
Oleh Mujahid Yusof Rawa

Pada tahun 1993 ketika Undang-Undang Jenayah Syariah II diperkenalkan, masyarakat mula terdedah kepada satu konsep perlaksanaan undang-undang jenayah Islam yang diusahakan oleh Kelantan di bawah pentadbiran PAS atas semangat Angkatan Perpaduan Ummah.
Respons kepada penggubalan enakmen ini telah menimbulkan hubungan yang tegang antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat di bawah kepimpinan Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dr Mahathir Mohamad.

Ketegangan hubungan menyebabkan kerajaan PAS Kelantan mengalah dengan mengambil pendekatan menghormati kerajaan pusat, namun semangat enakmen Jenayah Syariah Kelantan II diteruskan melalui taklimat hudud dan dijadikan acara tahunan dimana isu hudud dalam kerangka Syariah Islam dibahaskan dan diseminarkan.
Itu adalah gelombang pertama isu hudud.
Adalah tidak benar kepada yang menanggap bahawa kerajaan negeri Kelantan tidak membuat penjelasan tentang hudud, malah dalam ceramah-ceramah dalam dan luar Kelantan isu perlaksanaan hudud menjadi tajuk ceramah dan perbahasan akademik di sekitar 90-an.
Kini tahun 2014, gelombang kedua hudud bermula lagi. Generasi yang baru mengenali PAS mungkin hanya mengikuti gelombang kedua hudud dan menganggap penjelasannya belum mencukupi.
Saya boleh bersetuju penjelasan hudud tidak akan selesai namun langkah dan gelombang awal telahpun diperbahaskan oleh masyarakat pada tahun 90an lagi.
Namun perkembangan terkini tentang hudud telah sampai kepada tahap baru perdebatan dan ia lebih banyak menguasai isu hudud itu secara substantif, iaitu isu demokrasi dan perundangan serta keterlibatan lebih ramai pihak cuba memberikan pandangan mereka.
Ada beberapa perbezaan gelombang pertama hudud dan gelombang kedua hudud dalam perspektif faktor yang mempengaruhi suasana perbincangannya.
Suasana politik
Perbahasan hudud dalam gelombang pertama (90-an) berlaku dalam suasana kerajaan pusat pimpinan Umno/BN berada pada kedudukan yang lebih kuat berbanding hari ini.
Mereka juga kuat dengan sokongan masyarakat Cina dan kerana itu nada keras yang ditunjukkan oleh kerajaan pusat tidak memberi kesan kepada kedudukan politiknya.
Gelombang kedua  hudud menyaksikan kerajaan pusat berada dalam keadaan lemah dengan kehilangan 2/3 suara majoriti dan tekanan 51% undi popular Pakatan Rakyat memaksa Umno/BN mengubah strateginya.
Kalau dahulu PAS yang menuntut tetapi kini kerajaan pusat seolah-olah menawarkan dengan jaminan sokongan wakil rakyatnya di Parlimen.
Kalau dulu amaran tindakan Kelantan adalah ultra-virus kepada Perlembagaan Persekutuan tetapi kini ada pula peluang melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 dan peruntukan 76(A) melalui bill persendirian.
Soalannya mengapa kerajaan pusat beriya benar membantu kerajaan PAS di Kelantan?
Hudud isu strategi politik?
Jawapannya ialah, berasaskan perkiraan politik Umno/BN bagi memecahkan kolusi PAS dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat, khususnya DAP.
PAS mendapat manfaat besar daripada kerjasama politiknya dengan berjaya menembusi kawasan di Pantai Barat dan meraih sokongan bukan Melayu hampir 80% sokongan.
Keadaan ini membimbangkan Umno/BN, justeru itu mereka memerlukan isu yang boleh menggugat kepercayaan pengundi Cina kepada PAS dan isu hudud Kelantan adalah umpan terbaik yang mereka ada.
Sebelumnya isu “perpaduan Melayu” diasak oleh Umno/BN tetapi ia gagal memenuhi strategi mereka apabila PAS bertegas untuk meneruskan komitmennya dengan Pakatan Rakyat.
Sememangnya sebelum ini gelombang pertama hudud mendapat respons daripada sudut perbahasan demokrasi dan perundangan namun kematangan rakyat Malaysia berbeza berbanding dengan gelombang pertama.
Kesedaran tentang demokrasi dan suara besar yang membawa Pakatan Rakyat kepada pesada politik nasional menjadikan isu hudud yang dibawa oleh PAS tidak dibiarkan dengan begitu mudah malah menjadi bahan diperincikan untuk perdebatan.
Perdebatan bukan sangat mempertikaikan kesahihan hudud daripada sudut ianya sistem jenayah syariah Islam tetapi lebih kepada kerangka perlembagaan dan tuntutan demokrasi.
Ketegasan dan suara lantang bukan sahaja daripada MCA atau Gerakan tetapi juga dari rakan PAS iaitu DAP dan PKR.
PAS berhadapan dalam isu hudud hari ini di peringkat nasional dan PAS menjelaskan bahawa ia akan akur kepada kritikan-kritikan terhadapnya asalkan suasana perdebatan sihat berlaku tanpa sikap prejudis terhadap langkahnya.
Dari satu segi PAS terbuka dan mungkin juga mencatat satu-satunya parti politik Islam yang membawa isu jenayah syariah Islam dalam jalur demokrasi untuk dilaksanakan di Kelantan.
Ia akan menguji komitmen parti berhaluan Islam untuk meletakkan sebahagian agendanya dalam kerangka sistem yang ada dan tanpa perlu melakukannya dari pintu belakang.
Kesan pada Pakatan
Gelombang kedua isu hudud juga meletakkan PAS dalam posisi yang berbeza, kalau 90-an dahulu PAS tidak ada rakan kecuali parti Semangat 46, itupun terbatas kekuatannya hanya di Kelantan, namun kini PAS punya rakan daripada DAP dan PKR sehingga membawa PAS mempunyai pengaruh besar di pantai barat Semenanjung.
Sokongan masyarakat bukan Melayu bertambah malah memenangkan PAS di tempat yang dianggap campuran.
Sesuatu yang PAS kena akur bahawa di kawasan-kawasan ini, pengundi Cina dan India mengundi PAS kerana kesepakatan yang ada dalam Pakatan dan manifesto bersama yang diusung kemana-mana sahaja pimpinan PAS pergi.
Implikasi kepada isu hudud ialah pengundi Cina akan merasakan bahawa suara mereka kepada PAS dikecewakan dengan hudud lantaran kesan pengundian untuk PRU akan datang pasti akan terjejas sedikit sebanyak tidaknya jika ianya tidak ditangani dengan baik.
Begitu juga dengan semangat politik baru yang cuba diketengahkan oleh Pakatan dengan agenda fajar baru, politik baru dan impian Malaysia seolah menjadi anti-klimaks dengan isu hudud yang sifatnya adalah lokal, iaitu untuk keperluan Kelantan sahaja.
Politik inklusif yang menjadi agenda Pakatan dan agenda reformasi institusi undang-undang dan penguatkuasaan seoalah-olah dialih pandangan kepada isu hudud yang sifatnya terlalu eksklusif untuk orang Islam sahaja.
Dengan kemunculan isu hudud perdebatan yang tak habis-habis didebatkan ialah adakah Malaysia negara sekular atau tidak membawa rakyat kepada sesuatu yang tidak produktif untuk perubahan yang diperlukan.
Kesepakatan Pakatan
DAP pernah keluar pada tahun 2001 dari Barisan Alternatif (BA) kerana membantah isu ‘Negara Islam’ yang PAS pertegaskan setelah bersama dalam PRU 1999. Pada tahun 2008 DAP kembali melalui Pakatan melalui penubuhannya secara rasmi pada tahun 2009.
Satu persefahaman atas Common Policy Framework (CPF) hanya mengisyaratkan komitmen kepada Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagai sesuatu yang mesti dipertahankan.
Isu perlaksanaan hudud di negeri yang PAS perintah seperti Kelantan tidak menjadi persefahaman Pakatan. Sebab itulah apabila isu hudud muncul semula asas persefahaman ini mula dipertikaikan oleh rakan PAS.
Walaupun PAS mempertahankan sikapnya bahawa isu hudud sudahpun wujud sebelum adanya Pakatan, namun bagaimana ia disesuaikan dalam CPF belum lagi jelas kelihatan.
Kepimpinan Pakatan harus ambil serius hal ini kerana akhirnya persepsi pengundi kepada Pakatan akan terjejas dan satu rumusan awal tidak dapat dielakkan lagi bahawa Pakatan tidak bersatu sedangkan Pakatan ada agenda besar iaitu menjadi kerajaan persekutuan di masa hadapan.
Sokongan pengundi pastinya akan terjejas khususnya pengundi Cina dan golongan pertengahan Melayu yang tidak akan yakin kemampuan Pakatan menyelesaikan masalah kesatuan mereka.
Implikasi
Negara kita diuji dengan arah tuju politik negara jikalau isu hudud dijadikan bahan eksploitasi politik kerana ahli politik akan dipaksa mengambil jalan inklusif atau eksklusif sebagai mengekalkan kedudukannya.
Jikalau bill persendirian atas peruntukan 76 (a) dan meminda Akta Mahkamah Syariah (1965) dibentangkan oleh MP PAS maka desakan untuk menyokong atau tidak akan menguji MP Muslim khususnya merentangi fahaman politik.
MP bukan Islam daripada aliran politik berbeza juga dipaksa untuk menyatakan sikap mereka, jikalau ini berlaku politik negara kita bukan sahaja semakin runcing perkaumannya tetapi faktor agama dalam sokongan boleh menambahkan lagi kerumitan politik di Malaysia.
Hanya politik berperinsip dengan komitmen kepada kerangka negara dan mengambil kira kepelbagaian kaum yang ada akan menyelamatkan keadaan, malah isu hudud berupaya untuk melahirkan sikap ini lewat politik baru yang sedang mengintai peluang untuk muncul.
PAS tidak perlu bimbang kerana politik baru ini jugak adalah Islamik karakternya kerana ia mengambil jalan sederhana dan perkiraan maslahah umum yang merupakan intipati kepada siyasah syariyyah dan lebih penting ia akan menumbangkan kerajaan korup dan rasuah yang kini diterajui oleh Umno/BN.
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat.