Friday, May 16, 2014

Hudud: Jawatankuasa teknikal penting

  • Ahmad YakobAhmad Yakob
 1 / 1 
KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan persetujuan bersama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat bagi menubuhkan jawatankuasa teknikal (Hudud) peringkat kebangsaan sangat penting untuk melicinkan lagi perjalanan pelaksanaan enakmen tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut penting bagi melalui dan meneliti beberapa prosedur mahupun perkara yang perlu diselaraskan sebelum ia berjaya dibentangkan di parlimen.

“Sebelum melaksanakan hudud, kita (Kerajaan Pas Kelantan) mesti ada satu jawatankuasa kerjasama dengan Kerajaan Pusat ini bertujuan menyelaras mengenainya (hudud).


“Kita ada masa untuk membentangkan Rang Undang-Undang ini dan ianya tidak tertakluk kepada satu-satu masa,” katanya selepas mengadakan sidang media Perlawanan Bola Sepak Amal Piala Menteri Besar di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Sebelum ini, Pas Pusat melalui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju dengan cadangan penubuhan satu jawatankuasa teknikal antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi membincangkan prosedur dan beberapa penelitian bagi melaksanakan enakmen tersebut.

Tindakan tersebut juga sekali gus menangguhkan cadangan asal Pas Kelantan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Ahmad berkata, kini pihaknya masih melalui proses persiapan dan meneliti beberapa perkara sebelum membentangkan rang undang-undang tersebut.

Beliau yang juga Pesuruhjaya I Pas Kelantan itu masih lagi menegaskan pendiriannya untuk meminta semua ahli parlimen beragama Islam untuk menyokong ketika pembentangan nanti.

“Kita ada masa,  kita masih lagi dalam proses persiapan dalam beberapa perkara, ia bergantung pada laluan yang kita lalui, Insya-ALLAH, jika semua pihak memberi kerjasama yang baik, perlaksanaan undang-undang Islam itu akan dapat dilaksanakan,” katanya.