Friday, May 16, 2014

Tiada hukum hudud untuk Sarawak – Adenan Satim


Tiada hukum hudud untuk Sarawak – Adenan Satim

BERNAMA | 16 Mei 2014.



KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem semalam berkata hukum hudud tidak akan dilaksanakan di Sarawak dan kerajaan negeri juga tidak akan membenarkan sebarang kitab Bible dirampas di negeri itu.

"Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa hukum hudud tidak akan dilaksanakan di Sarawak dan kita harus berhenti daripada mencanangkan mengenai perkara itu sekarang," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau juga menegur wakil DAP dan PKR di dewan untuk membuktikan sokongan mereka terhadap pendirian kerajaan negeri dalam dua isu berkenaan dengan keluar daripada pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat, yang turut membabitkan PAS.

Beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan untuk terus melindungi hak-hak perlembagaan Sarawak dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi kepentingan khas negeri ini.

"Yakinlah bahawa sebarang cadangan untuk meminda atau membuang mana-mana hak yang termaktub dalam Perlembagaan akan dibawa oleh kerajaan negeri kepada perhatian dewan ini untuk perbincangan dan pengesahannya akan dimohon," katanya.

Adenan berkata hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu ditadbir bukan sahaja mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia tetapi juga berlandaskan semangat di mana peruntukan perlembagaan ini telah digubal sebelum pembentukan Malaysia.

"Ia tidak boleh dinafikan bahawa peruntukan-peruntukan yang diberikan kepada Sarawak di bawah Perlembagaan mewajarkan kuasa autonomi dalam soal kewangan, perundangan dan pentadbiran yang tidak dinikmati oleh negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia," katanya. - Bernama