Wednesday, May 21, 2014

Hudud: J/kuasa teknikal akan berkubur sama seperti j/kuasa royalti minyak

Sayuti Omar
KUALA LUMPUR: Penganalisa politik, Mohd Sayuti Omar menjelaskan bahawa jawatankuasa teknikal khas yang ditubuhkan bagi membincangkan perlaksanaan hukum hudud akan berkubur sama seperti jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji bayaran tunai kepada negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia berhubung royalti minyak.

Menurutnya, PAS telah tertipu dengan helah Umno bagi melaksanakan hukum ini selain PAS sudah kehabisan modal untuk menarik perhatian masyarakat terhadap parti itu.

“Hudud menjadi isu utama untuk Negeri Kelantan menjaja modal politik mereka,” katanya dalam satu Wacana Perdana: Hudud Ke manakah Kelantan di  Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall.
Tambahnya, bagaimana mungkin Kerajaan Negeri Kelantan ingin melaksanakan hudud dalam keadaan rakyat negeri Kelantan sendiri hidup dalam berbilang bangsa.
Malah Sayuti turut yakin bahawa hukum hudud tidak akan dapat dilaksanakan.
“Saya nasihatkan kepada mereka yang bukan beragama Islam jangan bimbang berkenaan perlaksanaan hukum hudud ini, kerana saya yakin hampir 100 peratus hukum hudud ini tidak akan berjaya dilaksanakan dan tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.
Ujarnya lagi, beliau secara peribadi menyatakan bahawa dirinya tetap menyokong perlaksanaan hudud, tetapi beliau turut percaya bahawa hudud tidak akan direalisasikan di Malaysia dan juga di Negeri Kelantan.
“Saya tidak katakan bahawa saya tidak menyokong perlaksanaan hudud ini, tetapi saya hampir pasti bahawa hukum hudud ini akan gagal,” katanya.