Tuesday, May 6, 2014

Hudud perlu penerangan lebih jelas

  • Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
 1 / 1 
SHAH ALAM - Sekiranya Pas komited melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1993, negeri itu perlu memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat Malaysia.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pelaksanaan hudud di Kelantan tanpa penjelasan terperinci bakal menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan rakyat.

“Jika mereka (Pas) serius mahu melaksanakan hudud, mereka perlu mengkaji dengan lebih terperinci dan tidak terburu-buru sehingga menjadi bahan meraih sokongan politik berbanding melaksana hukum ALLAH,” katanya.


Katanya, pihak berwajib terutama Kerajaan Kelantan perlu menerangkan apakah hudud ini hanya dikenakan terhadap orang Islam sahaja atau kesemua rakyat tanpa mengira agama.

“Seandainya seorang pesalah melakukan jenayah, bagaimanakah mereka bakal dihukum kerana apa yang pasti bakal ada pertindihan antara undang-undang jenayah dan hukumannya.

“Jika hudud untuk orang Islam, bagaimana pula dengan orang bukan Islam? Adakah adil jika hukuman dijatuhkan itu berbeza. Islam sendiri mengetengahkan konsep adil” katanya.

Menurut beliau, bidang kuasa mahkamah syariah perlu diteliti kerana kedudukannya lebih rendah berbanding mahkamah sivil dari segi undang-undang jenayah dan kemungkinan berlaku pertindihan hukuman kelak.

“Kelantan harus meminda Perlembagaan melaksanakan hukum kanun jenayah syariah bagi membolehkan mahkamah syariah mempunyai kuasa setaraf dengan mahkamah sivil.

“Bagaimana pula dengan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan kerana rakan mereka seperti PKR dan DAP dilihat menolak hukum hudud,” katanya.