Saturday, May 17, 2014

Khalid disergah ahli PKR

MB Khalid PC 2
PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima kejutan hari ini apabila disergah oleh seorang lelaki yang mendakwa menteri besar Selangor itu terlibat dalam penipuan dalam pemilihan PKR di cabang Kuala Selangor.

Abdul Khalid menerima kejutan itu sejurus selepas tamat satu sidang di di Ibu Pejabat PKR yang turut disertai oleh ketua umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan presiden parti Azmin Ali dan setiausaha agung parti Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
“Penipu!” jerit lelaki tersebut yang dikenali sebagai Zulkifli Abdullah.

Khalid kemudian kelihatan terpinga-pinga sebelum bergegas ke keretanya.
Anwar yang berada berdekatan Khalid kemudiannya menasihatkan semua ahli untuk bertenang.
Apabila ditemui oleh wartawan, Zulkifli yang mendakwa ahli PKR Kuala Selangor yang turut sama keluar mengundi 11 Mei lalu berkata perbuatan Khalid itu memalukan cabang tersebut.
“Dia buat strategi supaya benda (pemilihan) ini dibatalkan. Kita ada bukti yang memang orang dia hantar habuan berbentuk rasuah,” katanya.
Menurut Zulkifli bukti-bukti ini telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk siasatan lanjut
Laporan polis
Satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Jeram, kata Zulkifli.
Terdahulu, bekas ahli parlimen Kapar S Manikavasagam menyerahkan surat rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin PKR untuk membenarkannya bertanding dalam pamilihan kali ini.
Manikavasagam yang mencabar Khalid bagi jawatan ketua cabang PKR Kuala Selangor digantung keahlian serta-merta bersama tujuh lagi anggota parti kerana melanggar tataetika pemilihan parti.
“Ini surat ketiga saya tulis kepada JPP dan jawatankuasa disipilin untuk panggil saya dan ambil keterangan saya sebelum menggantung saya.
“Benarkan saya bertanding untuk jawatan ketua cabang, tak perlu takut. Semua orang ada ke (pada) media, janganlah gantung saya,” katanya kepada wartawan.
Walaupun bertegas untuk terus bertanding, namun Manikavasagam berkata beliau akan menerima dengan hati terbuka sekiranya rayuannya itu ditolak.
Manikavasagam didapati bersalah melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR iaitu “Sebarang perselisihan berkaitan dengan pemilihan parti dilarang sama sekali dibawa kepada media atau dihebahkan kepada umum” kerana membuat kenyataan media yang mendakwa Khalid terlibat dengan politik wang dalam pemilihan cabang Kuala Selangor.