Saturday, May 17, 2014

Selangor jamin air loji rawatan cukup hadapi El-Nino



SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi jaminan kapasiti air di loji rawatan mencukupi untuk menampung kegunaan pengguna meskipun negara bakal menghadapi El-Nino dan bulan Ramadhan.

Hal ini kerana, sumber air mentah sedia ada mencukupi selain usaha pengepaman air dari kolam dan lombong dijangkakan mampu bertahan lima hingga enam bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bacaan air di Sungai Selangor meningkat pada pagi ini dengan bacaan 41.75 peratus.

Katanya, hasil analisa pensampelan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) pada tahun 2011 hingga 2013 menunjukkan kualiti air kolam alternatif yang dikenalpasti mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

15 daripada 27 parameter yang telah diuji melalui persempelan berkenaan adalah logam berat.

“Tiga daripada 15 persempelan itu adalah Mercury (Hg) yang direkodkan kurang daripada 0.001 mg/l , Cadmium (Cd) kurang daripada 0.0002 mg/l dan Lead/ Plumbum (Pb) sebnyak 0.0002 mg/l.

“Kandungan ini mematuhi piawaian KKM yang mana menetapkan 0.001 Mercury (Hg), 0.003 mg/l Cadmium (Cd) dan Lead/ Plumbum (Pb) sebanyak 0.05 mg/l.

“Keputusan pensempelan tahun 2013 Mercury (Hg) kurang daripada 0.001 mg/l , Cadmium (Cd) kurang daripada 0.0002 mg/l dan Lead/ Plumbum (Pb) sebanyak 0.001 mg/l.

“Manakala keputusan analisa pada tahun 2012 menunjukkan Mercury (Hg) dan Lead/ Plumbum (Pb) tidak dikesan sementara Cadmium (Cd) pada kadar 0.0003 mg/l,” katanya dalam satu sidang media.

Jelasnya lagi, berdasarkan kerja-kerja pengepaman yang dilakukan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dari kolam ke Sungai Selangor dilakukan, kandungan Mercury (Hg) kurang daripada 0.0008 mg/l, Cadmium (Cd) pada kadar 0.002 mg/l manakala Lead/ Plumbum (Pb) dengan kadar 0.010 mg/l.

Beliau menambah, Kerajaan Selangor berharap jumlah takungan air dapat dipertingkatkan sehingga 65 peratus sehingga penghujung Mei dan awal Jun ini berdasarkan keadaan hujan yang turun ketika ini.