Saturday, May 17, 2014

Pesuruhjaya PAS turun padang lawat kampung



NIBUNG TEBAL: Cara PAS Nibung Tebal membawa sendiri kepimpinan meninjau permasalahan rakyat satu tindakan yang sangat terpuji. (Gambar atas: Bersama pemuda PAS Kampung Sungai Duri)

Apa tidaknya, dengan berbuat demikian kepimpinan yang berada di atas akan dapat merasai keperitan rakyat menghadapi kenaikan harga barangan sekaligus dapat menjalinkan tali siratulrahim dan perpaduan sesama rakyat.

Bagi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turun padang merupakan rutin untuknya mengenal hati budi rakyat serta bertanya khabar atau mendapatkan maklumat dari peringkat akar umbi.

Bermula di Kampung Sungai Duri dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap Mohamad di bawa menunggang motosikal merentas beberapa buah kampung untuk menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan seperti orang tua, ibu tunggal, keluarga daif dan miskin.

Selain bersua dengan ramai masyarakat Mohamad diraikan pula dengan jamuan pagi. Selepas itu beliau diberikan masa untuk berucap bagi meningkatkan semangat pemuda dan jentera parti yang selama ini agak muram kerana kecewa PAS tidak bertanding di Dun Sungai Acheh pada Pilihanraya Umum (PRU).

Sebelah tenga hari beliau diberi peluang merasmikan Program Halaqah Baiti Janati anjuran Dewan Muslimat Nibung Tebal(Gambar Kanan) yang diadakan di Masjid Sungai Duri. Program bertujuan memberikan pendedahan bagaimana membina keluarga bahagia menjemput dua ahli panel iaitu, Adun Merbau Pulas, Kedah iaitu Ustazah Dato' Ashah Ghazali dan Ustaz Jafri Abu Bakar.  Di situ beliau dijamu nasi berlaukkan gulai daging, air asam dan ikan pekasam iaitu makanan kegemaran orang kampung.

Pada sebelah petang beliau merasmikan pula Kejohanan Futsal 5 sebelah Piala Timbalan Presiden di Padang Futsal di Sungai Acheh sebelum berceramah di Dewan Serbaguna Jawi bersama Yang DiPertua PAS Nibung Tebal, Abdul Rahman Ramjan dan KetuamDewan pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.