Saturday, May 17, 2014

Dyana Akan Pastikan PAS Tidak Laksanakan Hudud


Pakatan Rakyat menyambut baik pencalonan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon DAP dalam kempen pilihanraya kecil Teluk Intan yang akan datang.

Kehadiran Dyana dalam parlimen nanti penting untuk menambah senjata DAP bagi memastikan PAS tidak berjaya melaksanakan hudud sebab sebagai seorang beragama Islam, penentangan Dyana ke atas perlaksanaan hudud ini lebih menonjol berbanding seorang ahli Parlimen bukan Islam.

Bukan mudah untuk Pakatan Rakyat mendapatkan seorang ahli Parlimen yang berani menentang agamanya sendiri dan kejayaan DAP mendapatkan calon ahli Parlimen seperti Dyana ini adalah satu kejayaan besar parti tersebut.


Sebagai contoh, PAS sehingga hari ini masih gagal mendapatkan seorang bukan Islam yang boleh mewakili pandangan parti tersebut di DUN mahupun parlimen.  Betul, ada beberapa orang bekas ADUN PAS yang berbangsa cina, tapi dia beragama Islam.

Masalahnya sekarang bukan cina atau Melayu, tapi Islam.

Adalah lebih baik orang Islam sendiri yang berhujah di Parlimen menolak perundangan Islam ini, berbanding dengan orang bukan Islam.

Sebab itulah pencalonan dan kemenangan Dyana ini nanti menarik.  Kita semua tahu bahawa suara orang Islam dalam DAP untuk menentang hudud masih belum cukup kerana parti itu hanya ada 3 ahli Parlimen beragama Islam yang boleh diharap untuk berhujah menentang hudud nanti.

Walaupun PKR mempunyai lebih ramai ahli Parlimen yang turut menentang hudud, tapi komitmen parti tersebut masih boleh dipertikaikan kerana pendirian yang tidak jelas, berbanding dengan DAP yang menolak hudud secara total.

Dyana layak digelar sebagai ratu anti hudud untuk negara kita dan dengan latar belakangnya dalam bidang undang-undang, dia memang lebih dari boleh diharapkan untuk memastikan hudud tidak berjaya dilaksanakan di negara kita ini.