Monday, May 19, 2014

PRK Teluk Intan, PAS akan terus berdakwah


PAS ada usrah, DAP tak ada usrah. PAS ada kuliah maghrib, kuliah isyak, kuliah subuh, kuliah dhuha dan kuliah zohor. Pemimpin DAP hadir kuliah masa belajar di universiti. PAS ada tamrin, liqa fikri, rehlah dan mukhayyam. Tak pernah dengar lagi DAP buat tamrin. PAS ada masjid, surau dan markaz tarbiyah. Tempat-tempat ibadat sebegini bukanlah identiti parti DAP walaupun ahlinya terdiri dari pelbagai latar belakang agama yang mempunyai kepatuhan beribadat yang tersendiri. PAS adalah parti Islam, DAP bukan parti Islam.

Jadi kalau DAP tak sama dengan PAS, sebab apa pula yang PAS bertahaluf dengan DAP? 

Kita bertahaluf dengan makna kita bersetuju dan bekerjasama dalam perkara yang disepakati bersama dan kita juga bersetuju dalam perkara yang tidak disepakati bersama. PAS tetap PAS dan DAP tetap DAP. Bukan semua perkara kita sepakat dan bukan semua perkara kita tak sepakat.

Walaupun begitu, oleh kerana PAS adalah sebuah parti dakwah di samping siyasah dan tarbiyah, tentunya peluang untuk berdakwah kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat tak disia-siakan.

Dakwah ini ada dua iaitu dakwah kepada non muslim dan dakwah kepada sesama muslim. Alhamdulillah, telah ramai pemimpin DAP yang mula memahami Islam walaupun belum memeluk Islam. Mereka juga seringkali merujuk makna dan maksud ayat-ayat al Quran dengan pimpinan PAS. Ada yang tidak canggung lagi memetik ayat-ayat Quran dalam ucapan. Hah! Nanti ada pula yang kata, mana boleh biar orang kafir buat main dengan ayat Quran! Saya nak tanya balik, mana dalil orang kafir tak boleh baca ayat Quran? Bila pula pemimpin DAP buat main dengan ayat Quran? 

Ada Lim Guan Eng sekat peruntukan untuk Majlis Agama Islam Pulau Pinang? Yang saya dengar, makin banyak peruntukan, adalah! Kisah Pondok Pok Teh, Pengkalan Hulu, Perak yang memohon tanah dari kerajaan Umno Perak, tetapi tak dihiraukan akhirnya diluluskan dengan keluasan lebih dua kali ganda pada zaman kerajaan PR Perak dengan sokongan dari Exco DAP. Banyak lagi kalau kita nak bebelkan. Tapi itu bukan fokus tulisan ini.

Selama Umno berkawan dengan MCA, Gerakan dan MIC, ada Umno tolong perkenal sepatah ayat Quran kepada kawan-kawan mereka? Ada Chua Soi Lek, Samy Vellu, Koh Tsu Koon pernah rujuk makna ayat-ayat Quran atau hadis dengan Mahathir, Pak Lah atau Najib? Dengan Nazri Aziz, tentu Chua Soi Lek tak akan rujuk hal agama. Ataupun ada mana-mana pemimpin komponen BN yang mari mengadap Fathul Bari minta tolong perjelas bab Islam? 

Saya yakin, medan PRK Teluk Intan juga akan jadi medan dakwah baru bagi PAS. Bukan setakat dakwah kepada penyokong BN tetapi juga dakwah kepada calon DAP yang mewakili PR. Sebagaimana biasa, jentera PAS akan turun membantu. Yang paling hebat di lapangan adalah jentera kempen muslimat PAS. Tuan-tuan akan dapat melihat sendiri nanti, bagaimana perubahan penampilan akan berlaku apabila calon DAP PRK Teluk Intan turun berkempen bersama jentera muslimat PAS.