Thursday, May 15, 2014

Krisis politik di Terengganu selesai

  • Krisis politik di Terengganu selesaiAhmad ketika sidang media di kediamannya semalam.
 1 / 1 
KEMAMAN – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menganggap krisis politik Umno di negeri ini selesai kerana beliau dan Adun Ajil, Ghazali Taib menarik balik peletakan jawatan mereka sebagai ahli Umno berkuat kuasa serta merta petang semalam.

Beliau berkata, sebelum ini berlaku sedikit salah faham antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga beliau bertindak keluar daripada Umno.

Bagaimanapun, katanya, persefahaman antara beliau dengan Presiden Umno itu kembali pulih selepas beliau menghubungi Najib tengah hari semalam.


“Saya beritahu Perdana Menteri yang saya akan adakan majlis perkahwinan anak saya pada 17 Mei dan ketika itu Perdana Menteri kata itu soal peribadi... sebab itu hubungan saya dengan beliau waktu itu agak tegang.

“Ekoran masalah itu dan sebab ia melibatkan maruah saya, jadi saya keluar parti dan letak jawatan dalam Umno. Tapi lepas bercakap dengan Perdana Menteri tengah hari tadi Perdana Menteri juga mengakui beliau tak ingat saya akan adakan kenduri kahwin anak di Kemaman pada 17 Mei kerana dia sangka majlis perkahwinan anak saya selesai 10 Mei, sedangkan ada lagi majlis pada 17 Mei dan 31 Mei,” katanya.

Susulan itu, katanya, beliau dengan Perdana Menteri saling bermaafan atas salah faham yang timbul dan hubungan mereka kembali pulih.

“Perdana Menteri minta maaf dengan saya atas salah faham itu dan saya juga minta maaf dengan beliau atas apa yang saya lakukan.

“Sejak umur 17 tahun saya berjuang dalam Umno, maka oleh kerana kami saling meminta maaf, saya buat keputusan menarik balik peletakan jawatan saya selaku ahli Umno dan Adun Kijal. Begitu juga Adun Ajil, Ghazali Taib dan kami berdua kekal ahli Umno dan kes ini selesai,”katanya.

Sebelum ini tiga wakil rakyat Umno iaitu Ahmad, Ghazali dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud bertindak keluar Umno menjadi wakil rakyat Bebas berikutan pelantikan Ahmad Razif sebagai menteri besar baharu, menyebabkan berlaku pergolakan besar dalam politik Terengganu.

Namun semalam kemelut berkenaan selesai setelah ketiga-tiga pemimpin berkenaan mengesahkan kembali kepada Umno.