Monday, May 19, 2014

Lebih baik Shahrizat tidak turun ke Teluk Intan

KUALA LUMPUR: Keceluparan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyerang calon DAP bagi Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud dengan melabelkannya sebagai boneka yang diperalatkan oleh DAP, bukan saja mengundang serangan balas daripada parti itu tetapi cara kempen ala 70-an itu juga membuatkan kelompok Umno sendiri rasa tidak selesa.

Ekoran itu, Dyana Sofya menyifatkan kenyataan Shahrizat itu menunjukkan kegagalannya melonjakkan golongan wanita kepada kedudukan yang sewajarnya dalam politik negara ini serta meminta belajar daripada ibunya yang juga merupakan aktivis Wanita Umno tetapi merestui dan sentiasa menyokongnya.

Menurut penulis Shahbudin Husin, di laman sosial begitu banyak kecaman dan sindiran dilemparkan terhadapnya oleh kelompok Umno sendiri yang menyifatkan Shahrizat sepatutnya memfokuskan untuk menarik pengundi Melayu Teluk Intan menyokong calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan bukannya menyentuh isu berkaitan peribadi calon DAP itu.


Tambahnya, Shahrizat juga diminta melihat ke dalam struktur Wanita Umno sendiri iaitu berapa ramaikah golongan muda yang berpotensi daripada Puteri Umno diterima dengan baik menyertai pergerakan itu dan diberi peluang sebagai calon dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya lagi, menyedari calon BN di Teluk Intan sudah berusia dan kitar semula pula, Shahrizat sepatutnya berbangga dan cuba mengaplikasikannya ke dalam Wanita Umno yang sedang dipimpinnya, dan bukan menyerang perkembangan yang sihat itu. 

"Kalau pun mahu berkempen, beliau sepatutnya menumpukan kepada isu tempatan Teluk Intan yang mungkin asing bagi Dyana Sofya serta serangan kepada ideologi parti DAP itu," tulis beliau di dalam blognya.

Katanya, kecuali jika Shahrizat sedia mendiamkan sedikit mulutnya daripada banyak berbicara yang bukan-bukan atau yang terkeluar daripada konteks menambahkan undi, dengan isu peribadi yang banyak memaliti dirinya serta gaya fikirnya yang masih tidak berubah, sebenarnya jauh lebih baik jika beliau tidak turun berkempen ke Teluk Intan nanti.

PRK Teluk Intan diadakan ekoran kematian Seah Leong Peng daripada DAP di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengidap barah pada 1 Mei lalu.

Pada PRU13 lalu, Seah Leong Peng yang memperolehi 27,399 undi menng dengan majoriti 7,313 undi menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong daripada Gerakan yang mendapat 20,086 undi dan K Moralingam (Bebas) yang mengutip 279 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei, manakala hari ini adalah hari penamaan calon. - HARAKAHDAILY 19/5/2014