Wednesday, May 21, 2014

Lilah tanya kerajaan NS guna tak ‘Arahan No 1 Kerajaan’?

Datuk Lilah Yassin
JEMPOL: Gugusan Felda Palong di Jempol, Negeri Sembilan, dikatakan gugusan Tanah Rancangan Felda kedua terbesar di Malaysia selepas Felda Jengka di Pahang. Terdapat 16 Tanah Rancangan Felda Palong bermula dari Felda Palong 1 dan berakhir di Felda Palong 16.

Tidak ada pusat bandar sebenarnya di Gugusan Felda Palong walaupun Felda Palong 4, 5 & 6 dikenali sebagai Pusat Bandar Felda Palong 4, 5 & 6.
Terdapat beberapa deretan kedai , pasar basah yang kecil, bengkel kenderaan, serta sebuah Pejabat POS Mini, Pondok Polis dan Klinik Kesihatan Felda Palong. Tidak ada bank di Pusat Bandar Felda Palong 4, 5 & 6.

Justeru itu Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Palong, Datuk Lilah Yassin yang merupakan wakil rakyat penggal pertama untuk DUN Palong, beriltizam untuk menaik taraf pusat perniagaan atau pekan kecil di Felda Palong 4, 5 & 6.
Lilah berkata pembangunan di Felda Palong 4, 5 & 6 tidak teratur, tidak tersusun dan tidak ada sistem pemantauan yang baik.
“Pengurusan Felda tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pembangunan di kawasan kedai-kedai di Felda Palong 4, 5 & 6.
“Bidang kuasa undang-undang ini terletak di bawah majlis daerah. Sebab itu saya bangkitkan isu ini di Persidangan Dewan Undangan Negeri pada tahun lepas dan juga pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas (Mac).
“Saya mohon agar Kerajaan Negeri  meletakkan pekan kecil atau pusat perniagaan di Felda Palong 4, 5 & 6, ini diletakkan di bawah Majlis Daerah Jempol (MDJ).
“Tetapi saya kesal dah setahun pun, masih tak boleh selesai masalah ini. Kerajaan Negeri masih tak boleh buat keputusan.
“Bukan susah sangat. Minggu ini Setiausaha Kerajaan Negeri  minta fail dari Pegawai Daerah (MDJ), hari Rabu mesyuarat Exco, buat keputusan sama ada lulus, tolak atau tangguh.
“Minggu seterusnya sahkan minit mesyuarat dan jadikan dasar (jika lulus).
“Barulah kita boleh gerakkan jentera kerajaan untuk membantu orang Palong ini,” katanya.
Lilah berkata beliau mahu premis perniagaan di Felda Palong 4, 5 & 6 disusun semula, termasuk menyediakan ruang perniagaan yang selesa, sistem perparitan dan sampah yang sempurna, aspek kesihatan dan keselamatan dititik berat serta kemudahan infrastruktur diperbaiki lagi.
“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas, saya bangkitkan ‘Arahan Nombor 1 Kerajaan’ dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara. Diluluskan oleh kabinet. Diguna pakai oleh semua negeri-negeri di Malaysia.
“Itu saya nak tanya (Kerajaan) Negeri Sembilan ini, pakai tak pakai?
“Sebab ‘Arahan Nombor 1 Kerajaan’ ini pergi kepada kepentingan negara, kepentingan negeri dan kepentingan rakyat. Bukan kepentingan individu.
“Kalau menepati ‘Arahan Nombor 1 Kerajaan’, fail dah sampai ke Exco dan dah buat keputusan.
“Tapi sebab tak guna ‘Arahan Nombor 1 Kerajaan’, setahun pun belum buat keputusan.
“Tidak efisyen langsung,” kata Lilah.
Datuk Lilah merupakan bekas Ahli Parlimen Jempol, penggal 2008-2013 dan juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.