Saturday, May 10, 2014

MCA agresif tentang hudud hasil didikan Umno




KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada Umno kerana berjaya mendidik rakan mereka dalam Barisan Nasional (BN), MCA sehingga berani menentang Islam secara agresif.

Beliau berkata, MCA begitu memahami apa yang diajar oleh guru mereka (Umno) sehingga parti itu dan Gerakan boleh melakukan demonstrasi menentang pelaksanaan hukum hudud.

"Lebih 50 tahun MCA, Gerakan bersama Umno di dalam BN dan hasil terbaik mereka adalah bila rakan Umno itu berani menentang hudud secara lantang dan lebih agresif.

"Kerja keras Umno mendidik dan boleh menjadikan Umno sebagai guru terbaik yang tidak pernah ada pada parti lain," jelasnya kepada Harakahdaily.

Justeru, Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut meminta agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik segera wakil MCA dan Gerakan ke dalam kabinet agar mereka lebih lantang mengkritik Islam di peringkat yang lebih tinggi.

Sebelum itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong di dalam wacana Sinar Harian menegaskan parti itu akan meninggalkan BN jika Umno terus menyokong pelaksanaan hukum hudud yang dicadangkan oleh PAS Kelantan.

Beliau berkata MCA perlu membincangkan semula kedudukannya dalam Barisan Nasional seandainya Umno tetap menyokong pelaksanaan hukum hudud. -