Thursday, May 22, 2014

Nozula terharu dikunjungi Adun PAS, PKR

GUA MUSANG: Biarpun ucapan Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah agak lantang terhadap pemimpin kerajaan negeri dan PAS, namun ia tidak menghalang Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menziarahinya.

Malah Ketua Pembangkang Dun Kelantan itu juga pernah cuba mencetus pergaduhan dengan Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim ketika persidangan Dun pada 2007.

BBC tidak mengambil kira semuanya itu demi persahabatan mereka menziarahi Adun Paloh yang terbabit dalam kemalangan di jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai 17 April lalu semasa dalam perjalanan ke Perak.

Kemalangan itu menyebabkan isterinya, Datin Maziah Din meninggal di tempat kejadian, manakala Nozula mengalami kecederaan serius pada dada, paru-paru dan tujuh tulang rusuknya patah.

Mohd Zaki bersama Adun Tawang, Datuk Hassan Mahmood; Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar; Adun Melor, Dr Yusnan Yusof; Adun Guchil, Mohd Roslan Puteh; Penyelia Paloh, Ustaz Abdulla Husain dan Penyelia Dun Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi menziarahi Nozula di Chiku 3 di sini, kelmarin.

Sebelum ini beliau dikunjungi anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi bersama pemimpin PAS dan PKR Gua Musang.

Ketika dirawat di hospital di Ipoh, Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan pemimpin-pemimpin lain turut menziarahinya.

“Walaupun kita berlainan ideologi politik, namun kita hanya berhujah, berbahas dalam Dun, namun di luar kita bersahabat.

“Sebagai seorang sahabat kami melahirkan rasa simpati terhadap beliau kerana terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawa isterinya,” kata Mohd Zaki.

Oleh itu beliau berdoa semoga Nozula cepat sihat bagi membolehkan hadir pada persidanga Dun pada akhir bulan hadapan.

Nozula yang kelihatan agak terharu mengucap terima kasih kepada pemimpin PAS dan PKR yang sentiasa mengunjunginya untuk bertanya khabar.

Katanya, walaupun berbeza ideologi politik dan sering bertelagah ketika persidangan Dun, namun ia tidak memutus persahabatan yang sudah lama terjalin.

Pada pilihan raya umum 1990 dan 1995 Nozula bertanding atas tiket Semangat 46 yang bergabung dengan PAS bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.