Thursday, May 15, 2014

PAS tidak pernah harap kepada Mat Said

KUALA LUMPUR: PAS menafikan dakwaan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kononnya beliau dipujuk menyertai PAS dan ditawar jawatan Menteri Besar, ketika dalam tempoh dua hari menjadi Adun bebas.

Pesuruhjaya PAS  Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata, dalam krisis yang berlaku itu, PAS telah membuat pendirian tidak mahu bergantung kepada Adun lompat jika berpeluang membentuk kerajaan.

Sebaliknya kata beliau, PAS konsisten dari awal dengan menegaskan bahawa urusan pemilihan kerajaan harus dikembalikan kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri.

"Kita nafi apa yang disebut oleh Ahmad Said itu, kita tak pernah pelawa dia.

"Kita tahu dia (Ahmad) ini liabiliti. Kita tak pernah harapkan kepada dia. Dari awal kita konsisten," katanya kepada Harakahdaily.

Ahmad pada sidang media sejurus kembali ke pangkuan Umno semalam mendakwa ada didatangi oleh beberapa ahli PAS memujuknya menyertai parti itu selepas beliau mengumumkan keluar Umno.

Malah beliau juga mendakwa diberi janji akan dikekalkan sebagai menteri besar.

Isnin lalu, tiga Adun BN termasuk Ahmad bertindak keluar daripada Umno untuk menjadi wakil rakyat bebas sejurus selepas pelantikan Datuk Ahmad Razif sebagai menteri besar yang baharu.

Dua lagi Adun berkenaan ialah Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud.

Tindakan mereka itu sekaligus mencetuskan pergolakan politik di negeri itu apabila kedudukan kerusi menjadi Pakatan Rakyat (15), BN (14) dan Bebas (3).

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengumumkan menarik balik tindakan itu dan kembali semula kepangkuan Umno semalam. - HARAKAHDAILY