Thursday, May 15, 2014

PR Terperangkap Dalam Sandiwara Najib, Ahmad Said & PAS


Akhirnya gembar gembur akan berlaku perubahan kepimpinan kerajaan Terengganu berikutan pemecatan Datuk Seri Ahmad Said (Mat Said) sebagai Menteri Besar negeri tersebut, berakhir semalam bila Mat Said dan 2 pengikutnya yang lain kembali menyertai UMNO.

Tidak cukup dengan itu, kedua-dua Mat Said dan Najib Tun Razak, bersungguh menjadikan cerita dongeng anak nak kahwin sebagai punca kenapa politik Terengganu berantakan dan hampir mencetuskan pilihanraya negeri - lebih sedikit setahun selepas PRU13.

Siapa yang tidak cukup bijak, bolehlah percaya dengan alasan sedemikian.


Masuk akal ke beratus juta wang rakyat untuk mengadakan pilihanraya kecil (kalau kerajaan Terengganu tumbang) di pertaruhkan hanya semata-mata kerana isu salah faham tarikh kenduri kahwin anak?  Bangunlah, kita bukan hidup dalam zaman batu.

Pakatan Rakyat sebetulnya terperangkap dengan permainan politik 3 pihak ini, Mat Said, Najib & PAS.  Malangnya, memang itulah yang berlaku, maklumat menunjukkan PAS turut terlibat dalam permainan politik yang menjijikkan ini.

Walaupun Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahari Mamat menegaskan PAS memang tidak pernah berharap untuk mendapatkan Mat Said bagi membentuk kerajaan baru di Terengganu, tapi itu kata dia - orang yang tidak terlibat dalam usaha membawa Mat Said ke dalam PAS.

Pakatan Rakyat difahamkan, yang terlibat dalam usaha tersebut adalah Setiausaha Agung PAS, Mustapha Ali dan beberapa orang lain yang nama mereka tidak perlu didedahkan disini.  Bukti ada ditangan kita, malah sudah disahkan oleh Mat Said sendiri dalam sidang medianya semalam (walaupun nama Mustapha tidak disebut).

Jika Satiful tidak berpuas hati, dia boleh menyaman Mat Said kerana kenyataannya itu, tapi percayalah itu tidak akan berlaku kerana Satiful tahu (walaupun dia tidak terlibat), memang ada usaha dilakukan PAS untuk membawa masuk Mat Said ke dalam PAS sepanjang 2 hari pementasan sandiwara berlangsung.

Dalam hal ini aku pujilah ketiga-tiga pihak tersebut kerana bijak memainkan peranan masing-masing sehingga semua rakyat Malaysia percaya bahawa akan berlaku perubahan kerajaan di Terengganu.  Tak tahu yang kita semua sebetulnya dah kena main.

Tiada siapa yang tahu kenapa ketiga-tiga pihak ini merancang permainan politik yang sedahsyat ini, sehinggakan berita kemalangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengejutkan masyarakat dunia pada malam 13 Mei itu, tidak begitu dipedulikan orang.

Bagaimanapun aku percaya, semua ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang ada intergriti dan berupaya menyelesaikan masalah.  

Kenyataan ini berdasarkan pemerhatian semalam, dimana hampir semua media pro UMNO mengangkat Najib ke tingkat tertinggi kerana berupaya menyelesaikan 'konflik' di Terengganu ini dalam masa yang sangat singkat.

Apatah lagi bila kegagalan Anwar menukar Menteri Besar Selangor dijadikan perbandingan dengan kejayaan Najib menukar Menteri Besar Terengganu, mengukuhkan lagi pandangan itu.  Motifnya semata-mata nak kata Najib handal, Anwar tidak.

Diakhirnya, kita semualah yang nampak bodoh.