Saturday, May 17, 2014

Pemilihan PKR: Keputusan masih jadi tanda tanya

  • pemilihan PKR
 1 / 1 
PORT DICKSON - Walaupun genap seminggu pemilihan PKR Cabang Telok Kemang diadakan, namun sehingga hari ini keputusannya masih menjadi tanda tanya semua pihak.

Penyandang Ketua Ketua Cabang PKR Telok Kemang, M Ravi berkata, biarpun pelbagai isu timbul sepanjang pengundian berlangsung, namun beliau tidak mahu terlalu cepat membuat kesimpulan.

“Pemilihan PKR ini bukanlah kali pertama diadakan dan sepatutnya ia dapat dibuat dengan lebih baik serta lancar.


"Tidak dapat dinafikan sistem pengundian kali ini berbeza dan ia turut menyumbang kepada kekalutan ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Ravi berkata, pihaknya telah mengemukakan surat bantahan kepada Ketua Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk membatalkan pemilihan yang dilakukan Sabtu lalu, dan undian semula perlu diadakan.

"Saya telah mengemukakan surat aduan dan bantahan terhadap proses pengundian bagi Pemilihan PKR 2014 di Cabang Telok Kemang kepada Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul, Ahad lalu.

“Jawapan berhubung surat itu hanya akan diketahui dua minggu dari tarikh ia (surat) dihantar atau sehingga bantahan didengar oleh JPP. Esok (hari ini) jika berkesempatan, saya sendiri akan menghantar memorandum membatalkan pemilihan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di rumahnya.

“Jika tidak berkesempatan untuk berbuat demikian, satu temu janji khas akan diadakan pada Isnin depan untuk menyerahkan memorandum itu,” katanya.

Ravi memberitahu, pemilihan PKR adalah pemilihan antara 'adik-beradik' dan apa jua keputusan, beliau terima dengan hati terbuka.

“Namun pemilihan itu mestilah adil dan bersih dalam memastikan kesinambungan kepimpinan PKR untuk terus membela rakyat.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku ketika pemilihan tempoh hari. Ada beberapa isu timbul dan saya sendiri telah membuat bantahan secara lisan kepada Ketua Pengawas JPP tetapi malangnya tidak diendahkan,” katanya lagi.

Dalam pemilihan yang diadakan Sabtu lalu, Ravi dicabar oleh Adun Chuah, Chai Tong Chai. Manakala penyandang Timbalan Ketua Cabang, Rusli Abdullah pula dicabar oleh Rosman Jonet, yang juga merupakan calon PKR semasa PRU13 lalu.

Sementara itu, jawatan bagi Naib Ketua Cabang menyaksikan bekas pemimpin veteran MIC yang juga bekas Exco Negeri Sembilan, Datuk M Muthupalaniappan, turut mencuba nasib dan ditentang oleh ahli perniagaan, Ng Yong Sam.