Saturday, May 17, 2014

PRK Bukit gelugor: Tidak mustahil calon lain hilang deposit

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan calon-calon yang bertanding menentang DAP bakal hilang wang deposit  dalam Pilihan Raya Kecil P51 Bukit Gelugor pada 25 Mei ini.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, tanpa kehadiran calon BN dalam pilihan raya ini akan memberi majoriti lebih besar kepada calon DAP iaitu Ram Karpal Singh Deo Karpal Singh.

"Kita harapkan agar pengundi turun mengundi nanti, sebagai referendum menolak BN," katanya kepada Harakahdaily.


Beliau mengakui suasana di Bukit Gelugor tidak serancak pilihan raya kecil yang lain sebelum ini kerana calon Pakatan Rakyat tidak ada lawan sehebatnya.

"Bila tidak ada lawan, 'slowlah' sikit, tidak ada propaganda daripada pihak lawan. Tidak ada isu-isu yang boleh menjejaskan undi calon PAS (DAP)," katanya.

Menurut Mohamad isu-isu seperti kehilangan MH370, GST dan kenaikan harga barang memberi kredit kepada Pakatan Rakyat bagi memancing undi di dalam pilihan raya ini nanti.

Ditambah pula, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, jentera daripada PAS baik di peringkat negeri mahupun di luar negeri memberi kerjasama baik untuk sama-sama berkempen bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat.

"Jentera  PAS giat membantu berkempen, tiap-tiap malam mereka bersama-sama keluar berkempen sambil mengedarkan risalah. Ceramah PAS juga aktif dengan dibantu oleh jentera PAS dari negeri-negeri lain,"katanya.

Beliau sering kali mengingatkan para pengundi Melayu bahawa Ram Karpal adalah calon PAS dan tidak akan mengiktiraf calon lain selain Ram Karpal.

Pilihan raya kali ini menyaksikan dua calon bebas iaitu Wan Abu Backer Sidiq dan Muhamed Nabi Bux Mohamed Sathar dan satu calon daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan, akan menentang calon DAP, Ram Karpal.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh daripada DAP akibat nahas jalan raya di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak 17 April lepas.

P51 Bukit Gelugor mempunyai 14.48 peratus atau 11,880 orang pengundi Melayu, 61,112 atau 74.49 peratus pengundi Cina, 8,660 atau 10.56 pengundi India dan 0.48 peratus atau 390 lain-lain kaum.
Pada PRU13 lalu, mendiang Karpal Singh yang mendapat 55,839 undi memenangi kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memungut 14,061 undi. - HARAKAHDAILY 17/5/2014