Tuesday, May 20, 2014

Pertukaran MB: Adnan Yaacob selepas Ahmad Said?

shakar shamsuddin
PETALING JAYA: Selepas Datuk Seri Ahmad Said ditukarkan sebagai Menteri Besar Terengganu, kini bahang pertukaran menteri besar mula terasa di Pahang.

Dalam tinjauan FMT sudah terdapat kain rentang di Temerloh yang mahukan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Shakar Shamsuddin  (gambar) menggantikan Datuk Seri Adnan Yaacob.

Adnan telah menjadi menteri besar sejak tahun 1995. Beliau merupakan ketua bahagian yang menyokong Tun Ghafar Baba dalam pertandingan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1993 ketika Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat menentang Ghafar Baba.
Beliau yang juga ADUN Pelangai telah lima penggal menjadi menteri besar Pahang dan dikatakan akan menjadi menteri besar kedua akan ditukarkan selepas Ahmad Said.
Selain dari Shakar yang juga ADUN Lanchang, nama ADUN peramu Jaya, Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar yang baharu. Beliau adalah bekas Setiausaha Kanan kepada Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum dipilih sebagai calon BN pada PRU ke 13.
 Bagaimanapun, kedudukan Adnan Yaacob bergantung kepada Sultan Pahang. Beliau dikatakan amat rapat dengan istana kecuali beliau meletakkan jawatan atas faktor kesihatan kerana  beliau dikatakan terkena penyakit burkholdera cepacia pada November tahun lalu.