Monday, May 19, 2014

Sah satu lawan satu di PRK Teluk Intan




TELUK INTAN: Calon Pakatan Rakyat dari DAP Dyana Sofya Mohd Daud sah akan bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 31 Mei ini.

Pengesahan itu dibuat Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Teluk Intan, Datuk Ibrahim Ahmad yang mengumumkannya selepas proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi tadi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak di sini.

Ia bermakna tiada calon bebas mengemukakan borang pencalonan seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

Mah menyerahkan borang pencalonan pada 9.05 pagi diikuti Dyana Sofya pada 9.08 pagi.

Proses penamaan calon yang dibuka sejak 9 pagi tadi berjalan lancar dan ditutup tepat pada 10 pagi.

Sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir luar negara layak mengundi pada PRK itu.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

Sementara itu Parti Berjasa dalam satu kenyataan, mengumumkan ia menarik diri daripada bertanding bagi mewakili Bebas pada PRK Teluk Intan. -