Monday, May 19, 2014

Hudud: DAP patut lebih tahu makna kebebasan

  • Hudud: DAP patut lebih tahu makna kebebasanMohd Khairuddin (dua, kanan) bergambar kenangan bersama pimpinan Pas Kedah.
 1 / 1 
ALOR SETAR – Pas tidak akan keluar daripada PR untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan pada tahun 2015 meskipun mendapat tentangan daripada DAP.

Jawatankuasa Lajnah Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Mahadi Mahmood berkata, sebaliknya yang perlu meninggalkan pakatan itu ialah DAP.

“Ini penegasan kita. Mereka (DAP) perlu tahu, mereka parti demokratik. Sepatutnya mereka lebih tahu apa itu demokrasi dan hak kebebasan.


“Kami orang Islam dan kami nak hak kami. Kamu tidak boleh halang hak kami,” katanya pada sesi penggulungan pembentangan Hiwar Siyasi (dialog politik) peringkat negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah, Batu 9, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, Pas juga tidak pernah bekerjasama dengan Umno untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

“Kita hanya sepakat antara kerajaan dengan kerajaan. Kena faham situasi dan jangan buat polemik seperti itu.

“Kerajaan negeri dan kerajaan Pusat mesti bekerjasama. Tidak cerdik kalau kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bermusuh,” katanya.

Beliau berkata, rakyat dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan bisikan-bisikan ‘iblis’ terhadap pelaksanaan syariat ALLAH itu.

“Apabila mereka (kerajaan Pusat) mengizinkan kita, wajib kita melaksanakan syariat itu. Memang kita tidak ada kuasa penuh di Kelantan, tetapi apabila mereka bagi kuasa kepada kita dengan tuntutan pelaksanaan hudud, maka wajiblah kita melaksanakannya.

“Jangan pula kata Umno rampas Kelantan. Ini tidak betul. Jangan kita meragui kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Pas tidak akan menarik diri dalam usaha melaksanakan hudud di Kelantan.

“Perbincangan  di peringkat PR menyatakan bahawa Pas tidak akan menarik diri. Hudud akan kita usahakan kerana ini perjuangan sejak dulu lagi.

“Semua juga telah bersetuju bahawa apa yang berlaku adalah hak parti masing-masing. Kita tidak mengalah, cuma tinggal bagaimana nak menguruskan isu itu saja,” katanya.