Friday, May 30, 2014

Skandal RM32 juta: Hasan Malek tak nafi, sedia disiasat

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek yang dikaitkan dengan kelulusan pinjaman mudah RM32 juta Bank Rakyat, tidak menafikan campur tangan beliau, malah sedia disiasat.


Hasan berkata, beliau sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan campur tangan dalam urusan pinjaman kepada seorang individu yang juga peniaga permaidani, yang didakwa rapat dengan Perdana Menteri.

"Kita bertindak atas dasar, undang-undang dan mengikut peraturan yang sedia ada," katanya tanpa enggan mengulas lanjut.

Beliau dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDNKK di Putrajaya semalam.

Isu mengaitkan Hasan ini timbul selepas Tan Sri Sabbaruddin Chik mendakwa khidmatnya sebagai Pengerusi Bank Rakyat tidak disambung gara-gara permohonan pinjaman oleh usahawan terbabit.

Sabaruddin mendedahkan bahawa khidmatnya tidak disambung gara-gara pinjaman bernilai RM40 juta yang dibuat ahli perniagaan terbabit.

Menurut Sabaruddin Chik individu tersebut menggunakan jaringan politiknya termasuk meminta campur tangan Hasan Malek untuk melangsaikan baki pinjaman berjumlah kira-kira RM32 juta tanpa faedah. 

PAS melalui ketua penerangannya Datuk Mahfuz Omar semalam mempersoal campur tangan menteri berkenaan dalam pinjaman itu yang disifatkan sebagai bertentangan dengan tadbir urus korporat.

Beliau berkata seorang menteri tidak sepatutnya terlibat dalam pemberian pinjaman apabila ia membabitkan sebuah bank yang mempunyai syer individu yang begitu ramai.

"Peminjam sepatutnya berunding dengan pegawai bank bukannya dengan menteri.

"Ini sudah melangkaui bidang kuasanya, suatu perbuatan jenayah dan salah guna kuasa," kata Mahfuz. - HARAKAHDAILY 30/5/2014