Thursday, May 29, 2014

Sultan Perak Mangkat: Arahan SPR Umpama Mencekik Demokrasi

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam satu kenyataan semalam, meminta semua parti-parti politik yang bertanding dalam pilihanraya kecil Teluk Intan agar mengelak dari menggunakan bahasa kurang sopan dalam kempen yang sedang berjalan bagi menghormati kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah semalam.

Pakatan Rakyat melihat arahan ini sebagai satu cubaan untuk 'mencekik' demokrasi walaupun dibuat atas nama menghormati kemangkatan Sultan.

Tambah membimbangkan, arahan sedemikian dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal selia proses pilihanraya di negara kita bilamana SPR sepatutnya tidak dilihat berpihak kepada mana-mana parti politik.

Sedangkan arahan itu dilihat ditujukan kepada Pakatan Rakyat berbanding dengan BN.  Maklum sajalah penceramah-penceramah Pakatan Rakyat biasanya berceramah tanpa skrip dan dengan itu sekali sekala menggunakan perkataan yang agak kreatif untuk menarik minat pendengar.

Perkataan kreatif inilah yang kita faham dimaksudkan SPR sebagai kurang sopan.

Agak sukar bagi Pakatan Rakyat untuk mematuhi arahan SPR ini kerana orang yang datang mendengar ceramah yang kita anjurkan, mereka mahu mendengar penceritaan yang sebenar, bukan yang dibuat-buat.

Maksudnya, kalau perlu kita kata celaka, kita kata celaka, kalau perlu kita kata bodoh, kita kata bodoh dan yang seumpama dengan itu.  Tapi bila SPR mengeluarkan arahan sedemikian, maksudnya setiap penceramah perlu menggunakan kata-kata yang sopan sajalah, mana boleh.

Yang berceramah pun akan cepat rasa bosan, yang mendengar pun akan cepat mengantuk, apatah lagi kebanyakkan ceramah dibuat pada waktu malam.

Maka itu Pakatan Rakyat menolak arahan terbaru SPR ini dan akan meneruskan gaya ceramah yang telah dipersetujui sebelum ini sebab kita tidak rasa bagaimana kata-kata kurang sopan dalam ceramah boleh mencemarkan proses berkabung yang sedang berjalan.

Lagipun tidak ada undang-undang di dunia ini yang melarang sesiapa untuk berkata buruk sewaktu tempoh berkabung.  Kalau UMNO/BN nak buat, itu pasal mereka, Pakatan Rakyat ada cara yang tersendiri.