Monday, May 19, 2014

Wanita Islam Buka Aurat Masih Layak Jadi Pemimpin


Selain mencatat sejarah sebagai wanita Melayu pertama yang dipilih menjadi calon pilihanraya mewakili parti DAP, Dyana Sofia juga membuktikan kepada puak pelampau Islam di negara ini bahawa wanita muslim yang tidak menutup aurat pun layak menjadi pemimpin.

Macam sudah ditakdirkan pula, kebetulan di Parlimen sekarang, Pakatan Rakyat tidak langsung mempunyai ahli parlimen wanita Islam yang tidak bertudung.  

Imej ini sedikit sebanyak memberikan gambaran yang agak kurang baik mengenai pendirian Pakatan Rakyat akan hak-hak wanita Islam di kalangan pemerhati barat, seolah-olah negara ini setaraf dengan Iran dan Afghanistan yang mewajibkan ahli parlimen wanita mereka bertudung.

Tapi, dengan kehadiran Dyana Parlimen nanti, kita berharap imej ini dapat diperbaiki secara perlahan-lahan dan kemudiannya akan menjadi bertambah baik.

Lebih menarik lagi bila PAS (disebalik imej sebagai parti Islam) juga nampaknya dapat menerima hakikat bahawa dalam soal pencalonan di Teluk Intan ini, Dyana bukanlah seorang Muslim tapi adalah seorang ahli DAP.

Tidak hairanlah kenapa, walaupun setelah Dyana secara terbuka menolak untuk mengundi menyokong perlaksanaan hudud Kelantan di Parlimen nanti, PAS masih memberikan komitmen penuh bagi memastikan kemenangan Dyana.  

Secara tidak langsung membuktikan bahawa PAS sanggup mengenepikan agama bila bercakap tentang soal kalah menang dalam pilihanraya dan untuk ini Pakatan Rakyat mengucapkan berbanyak terima kasih.

Mungkin ada yang tidak sedar bahawa semua ini membuktikan bahawa PAS sudah semakin menerima hakikat bahawa dalam dunia yang serba moden dan membangun seperti hari ini, retorik berkaitan agama sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa.

Aku mungkin agak keterlaluan, tapi kita berharap satu masa nanti akan melihat seorang muslimah PAS yang tidak bertudung dibenarkan untuk menjadi calon parti tersebut dalam apa-apa pertandingan pilihanraya.

Perkara ini bukanlah mustahil kerana beberapa tahun yang lepas sahaja, PAS tidak memnbenarkan seorang wanita menjadi calon pilihanraya, tapi hasil kerjasama erat dengan DAP dan PKR, PAS telah mengubah status itu dan membenarkan wanita bertudung untuk mewakili parti tersebut dalam pilihanraya.