Friday, June 20, 2014

Baik pulih PPR: S'gor peruntuk RM3,000 setiap rumah


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) akan menanggung kos baik pulih RM3,000 bagi setiap unit kediaman di beberapa kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad, berkata ianya melibatkan sejumlah 1,717 unit kediaman kesemuanya.

“LPHS sudah diarahkan untuk membuat kertas kerja dan maklumkan kepada mesyuarat Exco supaya mengeluarkan dana bagi membolehkan urusan baikpulih dapat dipercepatkan.

“Kita perlu lakukan segera (baikpulih) supaya kediaman itu dapat dipenuhi secepat mungkin,” katanya pada sesi penggulungan di Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Harga sewa kekal

Sementara itu, Iskandar berkata kadar rumah sewa kepada penghuni PPR dikekalkan pada nilai RM124 sebulan bagi yang berpendapatan di bawah RM1,500.

“Manakala yang berpendapatan lebih daripada itu bayar RM250,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri menetapkan 30 hingga 40 peratus daripada kediaman yang dibina di negeri ini adalah rumah mampu milik.

Ianya bertujuan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Harga bagi setiap unit di bawah polisi Rumah Selangorku kata beliau, antara RM42,000 hingga RM250,000.

Dalam pada itu, Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, berkata satu badan khas khusus bagi membina rumah mampu milik akan ditubuhkan. - HARAKAHDAILY 20/6/2014