Friday, June 20, 2014

Pemuda PAS mahu kerajaan jangan laksanakan GST

Khairil_Nizam_Khirudin_300x200
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mendesak kerajaan melupakan hasrat untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun hadapan.

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin, ini ekoran daripada beberapa faktor semasa yang menunjukkan kerajaan masih lagi tidak membuktikan komitmen politik dalam memperbaharui kewangan negara.
“Lihat apa yang berlaku pada minggu lalu apabila pihak kerajaan meminta Dewan Rakyat untuk meluluskan pembekalan (peruntukan perbelanjaan) tambahan tahun 2014 sebanyak RM4.11 bilion.

“Ini menunjukkan tindakan tidak berhemah kerajaan yang merekodkan perbelanjaan tambahan melebihi RM17 bilion pada tahun kewangan 2013,” ujarnya dalam satu kenyataan di dalam Facebook miliknya.
Katanya lagi, perbelanjaan tambahan ini ternyata bukan disebabkan perbelanjaan luar jangka, sebaliknya disebabkan ketidakpekaan kerajaan dalam mengimbangi prioriti perbelanjaan negara.
“Unjuran peruntukan bajet yang dilakukan saban tahun sewenang-wenangnya dibelanjakan melebihi had yang diperuntukkan malah untuk sebahagian perbelanjaan tidak memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
“Sebagai contoh, dalam keadaan kerajaan mengurangkan subsidi dan memberi tekanan kepada peningkatan harga barang yang secara langsung memberi kesan kepada rakyat, kerajaan telah membelanjakan RM20 juta bagi melobi pencalonan Malaysia sebagai Ahli Majlis Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Benarkah Malaysia mampu berperanan dalam isu-isu keselamatan walhal apakah pendirian Malaysia terhadap konflik di Asia Barat, nasib umat Islam di Afrika Selatan, Myanmar dan Syria. Sebenarnya, perbelanjaan ini untuk apa?” soalnya.
Diplomasi panda
Jelasnya lagi, isu diplomasi panda juga begitu kerana kos keseluruhan pemeliharaan ini dikatakan menjangkau sehingga RM60 juta.
“Ini termasuklah anggaran kos sebanyak RM25 juta yang terpaksa dibelanjakan untuk membina kompleks ‘kediamannya’ di Zoo Negara seluas 1.6 hektar dan anggaran kos sebanyak RM1.5 juta setahun untuk penjagaannya,” katanya.
Ujarnya, walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang merasionalkan projek berkenaan kononnya akan meningkatkan pulangan seperti di negara lain, siapa pula yang bertanggungjawab dengan nasib mereka yang menginap di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berkeluasan hanya 700 kaki persegi dengan harga RM30,000 seunit?
Sementara itu, meskipun kadar inflasi secara keseluruhan mencatatkan 3.4% pada bulan April 2014 iaitu lebih rendah berbanding bulan Disember 2013 dan Mac 2014, namun kadar inflasi bagi sektor pengangkutan, perumahan, utiliti, gas dan bahan api kekal membengkak.
Begitu juga walaupun pelbagai langkah makro diperkenalkan untuk mengekang kenaikan hutang isi rumah yang menokok sehingga 86.8% daripada KDNK, namun hasilnya tidak seperti yang dijangka.
Oleh itu, selagi mana rakyat melarat dengan pergelutan kewangan semasa, dan kerajaan secara sewenangnya berbelanja tanpa mengikut prioriti yang bijak, maka Pemuda PAS secara konsisten akan membantah pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan bermula suku kedua tahun hadapan.
“Apalah guna peningkatan hasil sekiranya pemborosan dan ketirisan menjadi amalan kerajaan,” katanya.