Wednesday, June 4, 2014

Benarkah Hudud Akan Dilaksanakan Dalam 2 Peringkat?

Aku sedang membaca akhbar-akhbar cina dan tertarik dengan satu laporan dalam Oriental Daily yang menyebut bahawa jawatankuasa khas mengenai hudud yang ditubuhkan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk melaksanakan sistem perundangan tersebut dalam 2 peringkat.

Peringkat pertama ialah meluaskan kuasa Mahkamah Syariah untuk mengendalikan kes-kes jenayah yang boleh dikenakan hudud dan kedua memastikan semua jabatan kerajaan di seluruh negara bersedia dalam memberi kerjasama bagi memastikan kejayaan sistem perundangan tersebut.

Yang menarik perhatian, kenyataan ini dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menjadi wakil kerajaan persekutuan dalam jawatankuasa tersebut, seolah-olah memberi maksud bahawa rundingan sudah berada di peringkat akhir sebelum undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen!!


Apakah ini benar?  Jika ia benar, siapa yang memberi kebenaran untuk PAS bersetuju dengan cadangan itu dan kenapa Pakatan Rakyat tidak dimaklumkan terlebih dahulu?

Tidakkah PAS belajar dari pengalaman di Teluk Intan dimana DAP terpaksa menanggung beban dari sikap hipkorit PAS menghidupkan kembali cadangan perlaksanaan hudud di Kelantan apabila calon parti itu, Dyana Sofya Daud kalah di tangan calon BN akibat boikot pengundi cina?

Berapa banyak lagi kerusi Parlimen DAP yang perlu terlepas ke tangan BN sebelum PAS sedar bahawa isu hudud ini hanya merugikan Pakatan Rakyat, bukan membawa keuntungan sama sekali?

PAS perlu ingat, mereka sendiri akan kerugian lebih banyak jika pengundi cina yang menyokong siapa juga calon PAS dalam PRU13 yang lepas kerana arahan DAP, akan beralih kepada BN, bukan kerana BN sebuah parti kuat, tapi kerana membantah hukum hudud.

Berita terbaru ini mendesak DAP dan PKR memutuskan dengan segera kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.  Lebih lama PAS berada dalam Pakatan Rakyat, lebih banyak kerosakan yang akan berlaku..

Ini bukan kerosakan yang biasa, tapi boleh menyebabkan salah satu di antara mereka (DAP & PKR) kalah dalam pilihanraya.