Thursday, June 5, 2014

Tengku Razaleigh peneroka hubungan diplomatik dengan China



Lawatan bersejarah TR ke China 1971 bersama Zhou En Lai yang menghasilkan hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31hb Mei 1974.

Tengku Razaleigh Hamzah merupakan rakyat Malaysia yang pertama menjejak kaki ke negara China secara rasminya dalam proses membentuk hubungan diplomatik dengan negara China pada tahun 1971 dahulu. Anak didik Tun Razak ini juga telah diminta oleh Tun untuk menerokai penubuhan syarikat petroleum nasional dan hasilnya tertubuhlah Petronas pada tahun 1974 sama tahunnya dengan terbinanya hubungan diplomatik Malaysia China.

Kedua-duanya terbentuk dengan kebijaksanaan dan kemampuan seorang pemimpin yang telah banyak melakukan kerja untuk negara. Semasa itu ramai yang sedang mengaku sebagai pemimpin sekarang ini masih ‘bermain tali seluar’ lagi. Mereka sekarang sudah dewasa tetapi lupa untuk mengkaji bagaimana apa yang ada sekarang ini wujud.

Tun Abdul Razak telah meminta Tengku Razaleigh Hamzah untuk menerokai kemungkinan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara China. Maka Tengku dalam usianya yang masih muda semasa itu mengetuai rombongan Pernas ke negara itu dengan bermatlamatkan mengadakan hubungan perdagangan di antara kedua buah negara.

Tetapi matlamat akhirnya ialah untuk memulakan rundingan untuk mewujudkan hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara. Rombongan itu diadakan pada tahun 1971 dan Tengku telah membawa bersama dalam rombongan beliau bersama Pernas itu ketua-ketua Dewan Perniagaan Malaysia dan pegawai-pegawai tertinggi negara dengan satu ‘ultimate’, iaitu untuk meneroka bagi menjalin hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara.

Pendeknya Tengku Razaleigh mempunyai peranan yang amat besar dalam penjalinan hubungan diplomatik di antara China dengan negara kita Malaysia. Kini hubungan diplomatik itu telah terjalin selama 40 tahun dan Perdana Menteri Najib telah ke negara itu untuk merayakan ulang tahun ke-40 pembentukan hubungan di antara kedua-dua buah negara itu.

Tetapi rakyat yang memahami jiwa politik dan budaya sebuah pimpinan negara yang berlandaskan kepada bangsa Melayu dan rakyat berbilang kaum ini, ramai yang bertanyakan kenapa Tengku Razaleigh tidak ada bersama merayakan ulang tahun hubungan diplomatik itu dalam mana Tengku Razaleigh merupakan seorang sahaja yang masih hidup dan sihat yang bertanggungjawab mewujudkan hubungan diplomatik Malaysia-China itu.

Ketika hubungan diplomatik itu diadakan Najib hanya berumur 21 tahun dan untuk mempercayai cerita Najib yang beliau pernah bertanya kepada bapanya kenapa adakan hubungan diplomatik dengan negara China itu amat payah untuk kami mempercayainya. Semasa itu Najib, bak kata orang tua-tua di kampung, kencingnya masih bercabang lagi.

Pimpinan UMNO telah melupakan pemimpin ini terus-terusan dan ia bukan sahaja dalam isu perayaan hubungan diplomatik Malaysia-China ini sahaja. Setiap perayaan ulang tahun kejayaan Petronas juga Tengku Razaleigh tidak pernah mendapat jemputan. Tengku Razaleigh hanya bersabar melihat bagaimana budaya melayu yang kian hari kian terburai kerana politik dan kepentingan peribadi.

Sesungguhnya Tengku Razaleigh Hamzah telah menghabiskan usia untuk membina negara terutamanya semasa pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Hussein Onn. Malah oleh kerana besarnya jasa dan baktinya secara organic terhadap pembangunan negara maka beliau telah diketepikan. Ada pihak yang fakir jiwa dalam UMNO itu sendiri tidak mahu Tengku Razaleigh menyaingi legasinya dan terus sahaja melenyapkan TR secara sistematik dari politik negara.

Inilah hasil jika negara dipimpin oleh pemimpin yang fakir dan miskin jiwa mereka serta mempunyai jiwa yang terlalu kecil dan kerdil. Hendak membina semuanya itu tidak berkemampuan, tetapi untuk merayakan kejayaannya, merekalah yang paling ke hadapan dan yang lebih melukakan hati jiwa mereka yang berbudaya dan berjiwa besar.

Tidak ada sepatah pun menyebut sumbangan Tengku Razaleigh di dalam kenyataan Najib sedangkan yang meneroka hubungan itu hanya melihat sahaja gelagat dan membuat cerita yang kurang benar dalam ucapan rasmi di Beijing itu.

Tetapi sekarang ini, itulah budaya pimpinan Melayu kita. Ibarat semasa kenduri, menyembelihnya tidak, melapah dan menyiangnya pun tidak, jauh sekali untuk memasak. Tetapi apabila sudah masak merekalah yang akan menghadap dan memakan kepala kambing yang dibelit dengan perut kambing itu dan memakan hidangan itu dan tidak pun mempunyai 'audacity' untuk menjemput orang yang memasak itu untuk makan sekali.

Walaupun berbagai-bagai pihak cuba untuk melenyapkan legasi sumbangan TR terhadap negara tetapi lama kelamaan rakyat mula mengetahui segala sumbangan beliau dan kenapa beliau dihimpit oleh pihak tertentu untuk melupakan TR sampai bila-bila.