Tuesday, June 3, 2014

Bukan anak tempatan faktor Dyana tewas

BAHANG kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan masih dirasai memandangkan ia kejayaan manis memadamkan majoriti 7,313 yang diperoleh DAP pada PRU13 lalu.

Pemimpin parti bertanding sudah mengemukakan faktor kemenangan dan alasan kekalahan mereka pada PRK Parlimen Teluk Intan kali ini yang dibuat selepas penyandangnya, Seah Leong Peng meninggal dunia pada 1 Mei lalu.

Seperti yang sedia maklum, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menang dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.


Faktor bukan anak tempatan merupakan antara punca kekalahan anak muda berusia 27 tahun itu selain beberapa faktor lain.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, jumlah keluar mengundi yang rendah antara penyebab parti itu tewas.

Ya, memang benar kerana kebanyakan pengundi yang mengundi pada PRK kali ini terdiri dari orang tempatan, bukan pengundi luar.

Pengundi tempatan melihat keperluan undi yang diberikan untuk kesenangan dan kemudahan mereka, bukan paras rupa calon.

Situasi PRK dengan Pilihan Raya Umum (PRU) berbeza kerana PRK hanya melibatkan kawasan berkenaan sahaja dan tidak pun mampu merubah pentadbiran negara yang ada sekarang.

Jika Dyana Sofya bertanding semasa PRU13, beliau dijangka tiada masalah untuk menang kerana fenomena ketika itu menjurus kepada mahu menukar kerajaan.

Manifesto kedua-dua individu berkenaan juga menjadi titik perubahan sokongan yang mana pada awal kempen, Dyana Sofya dilihat lebih menonjol berbanding Siew Keong.

Untuk PRK, orang tempatan tidak memandang isu di peringkat nasional penting buat mereka sebaliknya isu setempat yang lebih memberi keuntungan kepada penduduk Teluk Intan.

Melihat kepada sokongan pengundi, Siew Keong menguasai undi saluran satu dan dua bagi beberapa daerah mengundi termasuk di kawasan Dun Pasir Bedamar.
Malah, bagi daerah mengundi paling ramai pengundi iaitu di Taman Seri Setia, saluran satu memilih Siew Keong berbanding Dyana Sofya.

Undi golongan muda pula jelas memihak kepada Dyana Sofya apabila kebanyakan saluran pengundi muda memihak kepada calon DAP itu walaupun terdapat undi anak muda kepada Siew Keong.

Bagaimanapun, dari segi kaum, pengundi Melayu yang kebanyakannya di kawasan Dun Changkat Jong memilih Siew Keong berbanding Dyana Sofya khususnya di daerah mengundi Kampung Bahagia, Kampung Selabak dan Kampung Changkat Jong.

Manakala undi kaum Cina memihak kepada Dyana Sofya apabila Siew Keong hanya menang di daerah mengundi Jalan Laxamana daripada 19 daerah mengundi di dalam kawasan Dun Pasir Bedamar yang majoritinya terdiri daripada kaum Cina.

Undi saluran satu yang banyak diterima Siew Keong menggambarkan penduduk tempatan memang mahukan orang Teluk Intan mewakili mereka di Dewan Rakyat.

Sementara itu, bagi pengundi India pula, daripada enam daerah mengundi, lima daripadanya memihak kepada BN iaitu Ladang Selaba, Ladang Sussex, Nova Scotia, Ladang Ulu Bernam dan Jalan Laxamana.

Mungkin serik dengan dua Ahli Parlimen DAP yang berbangsa India sebelum ini, mereka membuat keputusan untuk menukar angin kepada BN.

PRK Parlimen Teluk Intan kali ini juga menunjukkan tembok perkauman berjaya dipecahkan apabila orang Melayu lebih ramai menyokong Siew Keong manakala Dyana Sofya menerima sokongan pengundi Cina yang ramai.

Tugas berat kini menanti Presiden Gerakan itu untuk menunaikan janji manifesto yang diumumkan sebelum ini dalam tempoh lebih kurang tiga tahun sebelum PRU14.

Bagi Dyana Sofya pula, pencalonannya berjaya mencipta fenomena tersendiri dan namanya akan dinanti pada PRU14 nanti.