Saturday, June 21, 2014

DAP dakwa rencana akhbar berniat jahat


GEORGE TOWN : DAP Bukit Bendera semalam membuat satu laporan polis berhubung rencana terbitan akhbar Berita Harian 7 Jun lalu yang didakwa cuba menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap parti itu.

Rencana tersebut bertajuk “DAP Api-apikan Sejarah Hitam”, dengan tajuk kecil “Sikap Biadap, Provokasi Berterusan Terhadap Melayu Tak Dijadikan Iktibar”, ditulis oleh Juhaidi Yeah Abdullah.

Menurut Roketkini, laporan polis dibuat Ketua Pemuda DAP Bukit Bendera Haris Zuan di Balai Polis Jalan Patani pagi semalam.

Turut bersama adalah Setiausaha Pemuda Bukit Bendera Rozaimin Elias dan Naib Ketua Pemuda DAP Negeri Chris Lee Chun Kit.

Haris Zuan berkata, rencana tersebut jelas tidak disokong apa-apa fakta dan berniat jahat untuk mengelirukan rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, terhadap DAP.

“Dalam rencana itu, Juhaidi memfitnah DAP sebagai parti yang tidak henti-henti menghina orang Melayu, serta mendakwa matlamat DAP adalah untuk menimbulkan kebencian terhadap Umno, menghapuskan hak istimewa Melayu dan mengurangkan pengaruh Melayu dalam politik dan negara.

“Penulis juga menuduh DAP sebagai ‘rasis-cauvinis’ kerana cuba menghapuskan satu kaum untuk kepentingan kaum lain, selain menghina institusi Raja-raja Melayu menolak undang-undang syariah, mempertikaikan kontrak sosial dan hak istimewa orang Melayu,” katanya dipetik portal DAP itu.

Beliau berkata, sepanjang penubuhan DAP pada tahun 1966, banyak pemimpin Melayu diangkat untuk bertanding dalam pilihanraya, antaranya sembilan calon yang mewakili DAP ketika kali pertama parti itu menyertai PRU pada tahun 1969.

“Kini kami mempunyai perwakilan Melayu di semua peringkat membuat keputusan di Malaysia. Antaranya Senator Dr Ariffin Omar (Dewan Negara), Zairil Khir Johari dan Mohd Ariff Sabri (Dewan Rakyat), Tengku Zulpuri (Ketua Pembangkang DUN Pahang) dan saya sendiri di peringkat kerajaan tempatan.

“Maka adalah tidak munasabah apabila DAP dikatakan bermatlamat mengurangkan pengaruh Melayu-Bumiputera dalam politik negara, melainkan yang penulis rencana itu maksudkan adalah Melayu Umno,” katanya lagi. 

Justeru itu, beliau menggesa polis supaya menjalankan siasatan yang adil berhubung fitnah tersebut.