Friday, June 6, 2014

Di UMS, pelajar digantung pengajian kerana bantah rampas kedai



KUALA LUMPUR:Tindakan pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Labuan menggantung pengajian tiga mahasiswa selama satu semester kerana terbabit dalam himpunan membantah tindakan universiti merampas kedai yang diusahakan mahasiswa adalah satu bentuk penghinaan.


Menurut Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional, Fahmi Zainol, tindakan disiplin juga dikenakan terhadap pelajar lain yang terlibat dalam perhimpunan itu.

Tiga pelajar yang digantung pengajian ialah Muhammad Fadhil, Siti Aisyah Naser dan Liyana Zafirah.

“Lapan daripada mereka telah dikenakan tindakan dibuang daripada kolej kediaman,” kata Fahmi yang juga Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Bagi membantah tindakan UMS itu, tambah beliau, Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU & Akta 174 telah dilancarkan dan satu memorandum telah diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Penyerahan memorandum ini adalah untuk menggesa pihak Suhakam memandang serius perkara ini dan meminta kerajaan agar memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan Akta 174 yang telah banyak menyekat kebebasan suara mahasiswa,” tegas beliau.

Antara kumpulan mahasiswa yang turut menyokong penyerahan memorandum itu adalah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Sisters In Movement (SIM), Pro Mahasiswa Nasional, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Pro Mahasiswa Universiti Malaya.

Menurut Fahmi, gerakan yang sama telah ditubuhkan mahasiswa pada 2009 bagi mendesak kerajaan segera memansuhkan AUKU.

Hasilnya pada tahun 2012 satu pindaan telah dibuat dan mahasiswa dibenarkan untuk bergiat aktif dalam politik diluar kampus. – HARAKAH, 6/5/2014