Friday, June 6, 2014

Rakyat Sabah, Sarawak tunggu kesediaan Najib

najib sabah sarawak
KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak merupakan pemimpin terbaik untuk berbincang mengenai isu royalti kerana ia memahami aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Perdana Menteri sentiasa bersikap terbuka, prihatin dan mengambil kira semua pandangan sebelum membuat pertimbangan akhir berhubung tuntutan kenaikan royalti itu.

Salleh berkata demikian dalam posting terbaru blognya www.sskeruak.blogspot.com
Beliau juga berkata pengumuman yang dibuat Perdana Menteri itu sesuatu yang amat dialu-alukan.
“Kita percaya bahawa kesediaan yang dibayangkan Perdana Menteri itu sesuatu yang dinantikan oleh rakyat di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.
“Selama ini pemimpin kedua-dua negeri di seberang Laut China Selatan ini sentiasa meluahkan harapan agar kadar royalti sekarang disemak semula, demi kelangsungan agenda pembangunan negeri.” jelasnya.
Najib sedia pertimbang
Ketika berada di Miri, Najib membayangkan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan terbaik terhadap permohonan untuk mendapatkan royalti lebih tinggi bagi hasil minyak dan gas daripada Sarawak.
Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang masalah untuk merundingkan apa-apa perkara dengan kerajaan negeri berhubung kepentingan negeri Sarawak, kata Najib.
Sidang DUN Sarawak secara rasmi meluluskan usul khas meminta kerajaan pusat mengkaji semula pemberian royalti hasil minyak dan gas negeri supaya ditingkatkan daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.
Pada Mac lepas, tiga sayap Pergerakan Pemuda parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah, iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut meminta Kerajaan Pusat menimbang kenaikan royalti untuk negeri ini kepada 20 peratus.
Sementara itu, tinjauan mendapati rakyat Sabah tidak yakin dengan pendirian kerajaan Sabah dalam menangani isu royalti.