Thursday, June 5, 2014

Hak Najib untuk saman Malaysiakini, kata Tun M

7edd
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad berkata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mempunyai hak menyaman portal Malaysiakini.

“Itu dia punya hak untuk saman. Kamu dah kata satu benda bagi orang sakit hati, undang-undang ada di sana, “ katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau pernah disaman oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sepanjang 22 tahun tempoh beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, pelbagai tohmahan telah diterima.
“Dulu, masa saya jadi Perdana Menteri, macam-macam juga orang kata. Tapi tak apa, saya tidak pergi ke mahkamah sebab saya takda duit,” katanya dalam nada bergurau.
“Anwar pernah saman saya RM100 juta, saya lawan dia lima tahun, bayar lawyer, kemudian dia kalah, saya dapat berapa? RM70,000 sahaja. Nak bayar lawyer pun tak cukup.
“Sepatutnya dia saman saya RM100 juta, bila dia kalah, dia lah bayar saya RM100 juta. Inilah baru adil,” kata beliau sambil disambut hilai tawa rakan-rakan media yang hadir pada sidang media Siri Syarahan Perdana Presiden UIAM oleh beliau di Gombak hari ini.
Semalam Najib dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh telah menyerahkan writ saman terhadap Malaysiakini susulan penyiaran dua artikel pada 14 Mei lalu yang mengumpul pandangan pembaca berhubung isu krisis Terengganu baru-baru ini.
Najib dan Ab. Rauf mendakwa Penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Editor, Steven Gan dan Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar menyiarkan fitnah terhadap perdana menteri.
Sementara itu, sebuah NGO tempatan iaitu Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU ) berkata, tindakan Najib menyaman Malaysiakini mengikut jejak Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong memfailkan saman terhadap blogger Roy Ngering pada 15 Mei lalu.
KPRU juga berpendapat tindakan itu bukan sahaja berganjak daripada konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang sering diuar-uarkan beliau, malahan sekali gus mencomot mekap dan solekan beliau sebagai seorang “reformis” yang begitu susah payah cuba “dicipta” di arena antarabangsa.
KPRU mengamati tindakan itu tindakan sebagai tidak menghormati demokrasi lagi menindas kebebasan media.
“Saman yang difailkan oleh Najib ini bukan sahaja menimbulkan kontroversi, tetapi juga suatu langkah yang kurang bijaksana dan berpandangan sempit demi kelangsungan hayat sebuah rejim.
“Lazimnya, Kementerian Dalam Negeri yang mengambil tindakan terhadap mana-mana media yang dilihat tidak mengakuri atau cuba mencabar arahan kerajaan Umno dengan membatalkan atau menggantung lessen percetakan dan penerbitan media tertentu pada bila-bila masa sahaja,” tambahnya dalam kenyataan hari ini.