Thursday, June 5, 2014

Kerajaan negeri beri amaran Jais perlu patuh SOP

  • Tan Sri Abdul Khalid IbrahimTan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 1 / 1 
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor memberi amaran bahawa mana-mana pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh dikenakan tindakan tegas.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan langkah itu perlu diperketatkan bagi menjaga keharmonian masyarakat majmuk dan agama di negeri itu.

"Exco Selangor kesal dengan kejadian yang berlaku dan mengarahkan Jais perlu meneliti kes-kes yang melibatkan orang bukan Islam agar insiden sebegini tidak berulang," katanya memetik kenyataan medianya, hari ini.


Ahad lalu, Jais menahan seorang pengantin wanita ketika upacara perkahwinan sedang berlangsung bersama pasanganya, seorang lelaki beragama Hindu.

Beliau seterusnya dibawa ke ibu pejabat Jais untuk siasatan lanjut.

Siasatan itu mengikut Seksyen 4 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di kalangan Orang Islam) 1988.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid memberi jaminan akan membantu pengantin wanita tersebut menyelesaikan pendaftaran namanya menggunakan nama Islam dan kekeliruan status agama anutannya.

"Siasata awal menunjukkan bahawa pengantin wanita itu, Zarina binti Abdullah Majid telah didaftarkan atas nama Islam oleh bapanya dan tidak pernah mengamalkan cara hidup dan ajaran Islam.

"Setelah berbincang secara teliti isu tersebut, Jais telah menyatakan kesediaan untuk membantu wanita berkenaan menyelesaikan masalah status agama beliau," katanya lagi.