Tuesday, June 17, 2014

Haramkan pegawai Mais, Jais masuk Sarawak, kata PKR

see-chee-how
KUCHING: PKR Sarawak hari ini menggesa kerajaan negeri untuk mengharamkan pegawai-pegawai dari Majlis Hal Ehwal Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) daripada memasuki Sarawak memandangkan parti itu menganggap mereka sebagai berfikiran sempit dalam agama.

“Mais dan Jais adalah berfikiran sempit dalam agama dan harus dilarang daripada memasuki Sarawak,” kata naib pengerusi PKR negeri See Chee How.

“Malah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Daud Abdul Rahman telah mengkritik mereka kerana datang ke Sarawak tanpa memaklumkan kepada Jabatan Agama Negeri.
“Mereka tidak menghormati kerajaan negeri,” kata See.
See, yang merupakan Adun Batu Lintang, diminta mengulas mengenai keengganan Mais dan Jais untuk mengembalikan kitab-kitab Injil Persatuan Injil Malaysia (BSM), walaupun mereka telah diarahkan untuk berbuat demikian oleh Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan Peguam Negara Abdul Gani Patail.
Lebih daripada 300 kitab Injil dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Iban telah dirampas daripada BSM oleh Jais pada Januari tahun ini.
Ketua Menteri Adenan Satem baru-baru ini mengulangi pendirian kerajaan negeri, yang golongan taksub perkauman dan pelampau dilarang daripada memasuki Sarawak.